AirAsia Mulakan Penerbangan Di India

Diterbitkan: Khamis, 12 Jun 2014 2:40 PM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Dengan kod syarikat penerbangan i5, AirAsia India memulakan penerbangan sebagai syarikat penerbangan kos rendah keempat di negara ini dengan penerbangan sulungnya dari Bangalore ke negeri terkecil di India, Goa.

Mentera AirAsia sejak dilancarkan di India Februari lalu adalah untuk merevolusikan perjalanan udara di negara berkenaan.

Syarikat itu memulakan perkhidmatannya dengan hebat dan ini terbukti apabila tiket untuk penerbangan sulungnya habis dijual dalam masa 10 minit selepas dibuka pada 30 Mei lalu.

Perkembangan itu telah mengejutkan pihak lain dalam sektor yang amat kompetitif di India itu.

AirAsia India, usaha sama 49:30:21 antara AirAsia, Tata Sons dan Telestra Tradeplace, menawarkan tambang serendah Rs990 (RM54) untuk penerbangan tersebut.

Promosi 25,000 tempat duduk juga habis ditempah dalam tempoh 48 jam.

"Moto kami adalah untuk membolehkan setiap orang terbang. Kami sudah mula menunjukkan yang kami menepati janji kami," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mittu Chandilya ketika mengakui mengenai jualan laris tiket penerbangan itu.

Bagi menyaingi AirAsia, syarikat penerbangan lain di negara ini seperti SpiceJet dan IndiGo, telah mengadakan tambang promosi mereka sendiri.

Ketika mengumumkan pelancaran empat penerbangan baharu untuk laluan domestik, Indigo turut menawarkan tambang satu Rupee (lima sen) untuk laluan Bangalore, Chennai dan Goa bagi menyaingi tambang AirAsia India sebanyak Rs5 (27 sen), tidak termasuk cukai lapangan terbang dan yuran lain.

Syarikat penerbangan kos rendah lain di India ialah GoAir.

Mittu berkata, tambang syarikat penerbangan itu adalah 35 peratus lebih rendah daripada pihak lain di pasaran.

Menurut Ketua Pengarah Penerbangan Awam India, di kalangan syarikat penerbangan domestik, termasuk syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, IndiGo menerajui pasaran tempatan dengan 31.6 peratus, diikuti gabungan Jet Airways-JetLite pada 21.8 peratus pada April lalu.

Air India menguasai 18.3 peratus pasaran, SpiceJet 17.9 peratus dan GoAir 9.5 peratus.

Walaupun tiada sesiapa mengetahui pelan sebenar AirAsia India, ia bukan lagi menjadi rahsia yang ia tidak akan terbang ke dalam sektor yang sesak, sekurang-kurangnya buat masa ini.

AirAsia India telah menumpukan minat dalam bandar raya Peringkat 2 dan Peringkat 3.

Kira-kira 50 peratus daripada trafik adalah gabungan Mumbai dan New Delhi kerana syarikat penerbangan adalah seperti kambing bebiri, semua pergi ke tempat sama, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes ketika pelancaran syarikat penerbangan terbabit.

Masih terdapat banyak pasaran untuk dibangunkan, katanya, menjelaskan kehadiran AirAsia India akan menawarkan penyambungan penerbangan baharu, lebih kekerapan dan pengagihan semula trafik udara.

Mengembangkan sayapnya ke India membuatkan AirAsia benar-benar memasuki horizon baharu, dengan kemungkinan AirAsia India menjadi lebih besar daripada kumpulan itu sendiri.

Perjalanan AirAsia India setakat ini bagaimanapun bukanlah mudah.

Syarikat penerbangan lain telah melobi kuat menentang kemasukan AirAsia, walaupun selepas ia memperolehi Permit Pengendali Penerbangan (AOP) bulan lalu.

Ia juga menghadapi kes mahkamah yang difailkan pemimpin parti politik membantah kebenaran kepada syarikat penerbangan itu untuk memulakan operasi.

Dengan sikap berterus terangnnya, Fernandes telah beberapa kali mengecam cara bagaimana kepentingan diri menjejaskan industri penerbangan India.

Industri penerbangan India mempunyai hutang kira-kira US$12.6 bilion di samping kerugian terkumpul US$8.6 bilion.

Fernandes berkata, beliau tidak pernah mengalami situasi di mana seluruh industri cuba menghalang syarikat penerbangannya.

"Sesetengah syarikat penerbangan takut kepada kami. Kami mesti melakukan sesuatu yang betul.

"Rakyat India perlu membantu kami. Jangan biarkan kartel menang dan tidak membenarkan orang biasa terbang," katanya dalam catatan Twitternya baru-baru ini. 

Ketika "mengecat langit India dengan warna merah' mulai hari ini, saingan akan bertambah sengit. Pertempuran untuk menjadi peneraju baharu sahaja bermula.

AirAsia sudah pasti akan meneruskan pelabagai cara inovatifnya dalam usahanya untuk berjaya.

Tags / Kata Kunci: AirAsia

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan