Matrade Buka Peluang Pengeksport Malaysia Di Kemboja

Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 6:20 PM

Ibu Pejabat Matrade di Kuala Lumpur.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menawarkan satu lagi peluang kepada pengeksport Malaysia di Kemboja dengan menganjurkan Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) dan Showcase Malaysia 2014, di Phnom Penh dari 10 hingga 12 Jun.

MSE Kemboja merupakan siri kedua anjuran Matrade.

Matrade dalam satu kenyataan berkata, 62 syarikat Malaysia akan menyertai acara itu dan mempamerkan keupayaan dan kepakaran mereka sebagai penyedia perkhidmatan dan produk.

Pameran kali ini akan memberi tumpuan kepada sembilan kelompok iaitu pembinaan dan perkhidmatan berkaitan, bahan binaan, pendidikan, francais, perkhidmatan perniagaan, produk elektrik dan elektronik, barang pengguna yang laris, produk penjagaan kesihatan dan produk industri.

Antara perkhidmatan dan produk yang akan dipromosikan pada pameran itu ialah seni bina dan hiasan dalaman, perkhidmatan pembinaan dan yang berkaitan, perkhidmatan kejuruteraan, francais, pendidikan, sistem solar fotovoltan serta makanan dan minuman.

Matrade juga mengatur perbincangan perniagaan antara wakil syarikat Malaysia dan syarikat asing.

Setakat ini, lebih 800 pertemuan perniagaan antara syarikat Malaysia dan penyedia perkhidmatan di Kemboja sudah diatur. Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja dari Januari hingga Mac 2014 sebanyak RM347.6 juta berbanding RM276.1 juta dalam tempoh yang sama pada 2013, iaitu peningkatan sebanyak 25.9 peratus.

Jumlah eksport Malaysia ke Kemboja dalam tempoh tiga bulan pertama 2014 meningkat 29.9 peratus kepada RM197.7 juta.


Tags / Kata Kunci: Matrade , Kemboja , Showcase Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan