Pasaran Kenderaan Mewah Malaysia Masih Kukuh - Jaguar Land Rover

Diterbitkan: Rabu, 4 Jun 2014 6:01 PM

Pelancaran model baru Range Rover Sport, Rabu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Permintaan bagi kenderaan mewah dalam pasaran tempatan masih kukuh, kata Pengarah Urusan Jaguar Land Rover (M) Sdn Bhd, Syed Mudzhar Syed Ali.

"Kami melihat pasaran mengekalkan momentum positifnya, didorong oleh kemampuan kewangan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Range Rover Sport yang baharu di sini, Rabu.

Beliau juga berkata, pasaran mewah akan mencatat prestasi yang stabil pada tahun ini berbanding segmen kereta lain, yang perlahan.

Sebelum ini, Kenanga Research berpendapat sektor automotif sebagai sektor yang lemah dalam kalangan sektor di bawah liputan penyelidikannya.

"Ini berikutan semua syarikat kereta di bawah liputan kami mencatatkan keputusan yang lebih lemah daripada dijangkakan.

"Trend di bawah prestasi ini agak sama dengan laporan sebelum ini pada suku akhir 2013," menurut nota penyelidikannya.

Ditanya mengenai insentif bagi syarikat automotif yang melabur dalam pengeluaran kenderaan cekap tenaga, Syed Mudzhar berkata keputusan berhubung insentif itu masih di peringkat dasar.

"Kami (peserta industri) masih menunggu penjelasan dan maklumat lanjut berhubung perkara itu," katanya.

Pada 20 Januari lalu, kerajaan mengumumkan dasar automotif yang baharu, menawarkan insentif dan melonggarkan sekatan ke atas pengeluaran kereta kecil yang cekap tenaga memandangkan ia bersaing dengan negara jiran, Thailand dan Indonesia untuk mendapatkan pelaburan.

Sementara itu, beliau berkata, dengan penggabungan antara Jaguar dan Land Rover baru-baru ini, syarikat menyasarkan jualan sebanyak 1,200 unit bagi Land Rover dan 200 unit bagi model Jaguar.

"Bagi Range Rover Sport serba baru, kami menjangkakan menjual 90 unit menjelang akhir tahun, dan setakat ini, kami menerima 20 pra-tempahan. Kami juga melihat Lembah Klang sebagai pasaran yang kukuh," katanya.



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan