suria

Pelanggan Mydin Kini Boleh Guna Kad TNG Buat Bayaran

Ameer (kiri) bergambar bersama Abdul Karim ketika pelancaran khidmat berkenaan di Mydin Hypermarket Subang Jaya pada Isnin. foto NORAFIFI EHSAN/The Star
KUALA LUMPUR: Pelanggan pusat beli-belah Mydin kini boleh membuat pembayaran secara elektronik (e-bayaran) dengan menggunakan kad Touch 'n Go (TNG).

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Ameer Ali Mydin berkata kerjasama dengan Touch 'n Go Sdn Bhd (TNGSB) itu menyaksikan buat permulaan 11 cawangan Mydin di beberapa negeri menawarkan khidmat itu.

Kemudahan e-bayaran TNG itu boleh didapati antara lain di Mydin Subang Jaya, Seremban 2, Jasin dan Bukit Jambul, katanya pada sidang media selepas pelancaran khidmat berkenaan di Mydin Hypermarket Subang Jaya pada Isnin.

Ameer Ali berkata Mydin menyasarkan semua 222 premis perniagaannya di seluruh negara akan mempunyai perkhidmatan e-bayaran TNG tahun ini. 

Selain itu, pelanggan juga boleh menambah nilai baki kad prabayar TNG mereka sehingga RM1,500 di kaunter bayaran.

Ketua Pegawai Eksekutif TNGSB Abdul Karim Md Lassim berkata kerjasama dengan Mydin itu merupakan langkah transformasi TNGSB untuk membolehkan 7.5 juta pemegang aktif kad TNG meluaskan penggunaan kad masing-masing.

Katanya kini hanya tujuh peratus pemegang aktif kad berkenaan yang menggunakan kad itu untuk pelbagai urusan pembelian, manakala selebihnya hanya menggunakannya untuk membayar tol.
 
"Perkhidmatan e-bayaran yang diperkenalkan ini merupakan antara inisiatif kami (TNGSB) untuk mengubah budaya masyarakat daripada menggunakan wang tunai kepada bayaran tanpa tunai," katanya.

Usaha itu juga dijangka membantu memenuhi sasaran TNGSB untuk menggandakan pendaftaran tahunan pemegang kad TNG, daripada 2.5 juta kepada 4.5 juta. 

Abdul Karim berkata lebih 2,000 premis perniagaan kini mempunyai kemudahan pembayaran mikro TNG menerusi kerjasama TNGSB dengan 38 syarikat perniagaan.
Mydin, Touch n Go, Ameer Ali Mydin

Artikel Lain