BiotechCorp Sasar Pelaburan RM5 Bilion

Diterbitkan: Rabu, 14 Mei 2014 3:18 PM

Dr Mohd Nazlee

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd (BiotechCorp) menjangka misi perdagangan dan pelaburan bioekonominya ke Amerika Syarikat (AS) bulan depan dapat membantu mencapai nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion bagi tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Setakat ini, nilai pelaburan dalam sektor bioekonomi berjumlah RM2 bilion.

Mohd Nazlee berkata BiotechCorp berharap misi ke AS itu kelak akan menyokong mencapai matlamatnya untuk mendapatkan seberapa banyak kerjasama yang boleh, melalui beberapa program pelaburan yang dirancang.

Agensi pembangunan bioteknologi itu akan mengunjungi tiga bandar di AS, iaitu Minneapolis, San Francisco dan San Diego Jun ini, untuk membina hubungan strategik serta mengenal pasti dan berbincang dengan pelabur-pelabur berpotensi, di samping menceburi perniagaan strategik dalam industri-industri berasaskan bio.

"Kami mahu menonjolkan lagi Malaysia sebagai sebuah destinasi pilihan bagi perniagaan berasaskan bio," katanya dalam satu taklimat media mengenai misi perdagangan dan pelaburan ke AS itu di sini pada Rabu.

Mohd Nazlee berkata BiotechCorp mahu memanfaatkan lawatan Presiden AS, Barack Obama, selama tiga hari ke Malaysia baru-baru ini, untuk menarik lebih banyak pelaburan dari sektor bioteknologi dan bioekonomi di negara itu.

"Kami juga akan memperkenalkan kira-kira 10 produk syarikat berstatus BioNexus di sana," katanya.

Status BioNexus ialah satu pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia melalui BiotechCorp untuk melayakkan syarikat-syarikat yang melaksanakan dan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan bioteknologi nilai tokok.

Mohd Nazlee berkata beliau berharap untuk melihat 70 peratus pelaburan daripada syarikat-syarikat tempatan menjelang 2020, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, manakala selebihnya adalah melalui penyertaan syarikat asing.

Pada masa ini nisbah pelaburan tempatan dan asing ialah 50:50.


Tags / Kata Kunci: BiotechCorp

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan