suria

Keutamaan Kepada Palapes Cemerlang Untuk Sertai ATM

PULAU PINANG: Kementerian Pertahanan akan memberi keutamaan kepada anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda serta menunjukkan prestasi cemerlang untuk diserapkan ke dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mulai tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata melalui pengambilan itu, keutamaan akan diberi kepada kadet terbaik Palapes untuk terus mengikuti latihan Pegawai Graduan ATM dan tempoh latihannya juga akan dipendekkan.

Katanya sebelum ini, mereka yang mengikuti latihan pegawai akan keluar dengan kelulusan Diploma dalam bidang masing-masing, bagaimanapun ATM merancang untuk menaikkan tahap akademik sehingga peringkat Ijazah.

"Langkah ini akan membolehkan ATM mendapatkan graduan, sekali gus melahirkan pegawai tentera yang berkualiti sejajar usaha pasukan itu yang telah merancang perubahan dasar selaras dengan kemajuan negara," katanya di sini hari ini.

ATM juga menyasarkan setiap pegawainya memiliki kelulusan minimum Ijazah Sarjana Muda untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kepercayaan masyarakat selain mempunyai pelbagai kemahiran, katanya pada sidang media selepas perjumpaan dengan warga Palapes IPTA di Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima ATM Tan Sri Azizan Ariffin dan Naib Canselor USM merangkap Komandan Palapes USM, Kolonel (K) Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Terdahulu pada majlis sebelum itu, seramai 1,138 pegawai kadet Palapes IPTA ditauliahkan sebagai pegawai muda dalam pasukan simpanan ATM, manakala 14 lagi dipilih sebagai pegawai cemerlang.

Pentauliahan disampaikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Syed Jamalullail.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, semua pegawai kadet Palapes yang melapor dan aktif dalam Pasukan Simpanan ATM akan berpeluang untuk dinaikkan pangkat dengan lebih cepat berbanding sebelum ini.

"Pada masa sekarang mereka ini berpangkat Leftenan Muda tetapi jika mereka memilih untuk menyertai Pasukan Simpanan ATM, kita akan pertimbangkan kenaikan pangkat sekurang-kurangnya Leftenan atau setaraf," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain