Menyauk Ikan Loma Di Sg Rui

Diterbitkan: Isnin, 7 Disember 2015 7:17 PM

(Ubah saiz teks)

SETIAP tahun antara bulan September hingga November, Sungai Rui di Kampung Kuala Rui, Gerik, Perak menjadi tumpuan ramai. Di sungai inilah penduduk tempatan serta  kawasan berdekatan malah ada juga dari jauh datang untuk menyauk ikan loma yang banyak terdapat dalam sungai tersebut ketika itu.

Ikan loma yang berkeliaran ini sebenarnya dalam perjalanan mudik ke hulu Sungai Rui dari Sungai Perak untuk bertelur. Justeru ia juga dikenali sebagai musim ikan loma bertelur.

Ketika ini memang banyak ikan tersebut bergerak secara berkumpulan. Sewaktu melalui Sungai Rui inilah orang ramai mengambil kesempatan untuk menyauk.

Sauk bersaiz besar untuk menaikkan lebih banyak ikan loma dalam satu masa.


Selain penduduk tempatan dan berdekatan seperti Felda Bersia, ada yang datang dari Ipoh dan Baling. Bagi sebahagian mereka, datang menyauk sudah jadi rutin tahunan. Mereka akan sampai apabila sahaja mendapat maklumat ikan sudah mula berkeliaran di Sungai Rui.

Sungai Rui terletak di Kampung Kuala Rui, kira-kira lima kilometer dari pekan Gerik. Satu ketika dahulu, Kuala Rui merupakan laluan utama untuk ke Felda Bersia dari Gerik dan sebaliknya, sebelum siap Lebuhraya Timur Barat dibuka pada Julai 1982.

Selepas lebuh raya dibuka, ia menjadi laluan pilihan utama para peneroka kerana lebih lurus dan selesa. Dari lebuh raya itu ada simpang ke Felda Bersia dan Kuala Rui itu sendiri. Laluan lama melalui Kuala Rui masih tetap digunakan serta menjadi laluan utama penduduk tempatan berulang alik ke Gerik atau kawasan sekitar.

SAUK

Ikan loma biasanya ‘berkumpul’ di Sungai Rui apabila hujan lebat, khususnya antara bulan September hingga November. Namun kedatangannya secara ‘berduyun-duyun’ ialah apabila hujan terlalu lebat sehingga air sungai naik dan menjadi keruh. Air keruh memang sesuai untuk ikan loma bertelur.  Selain ikan loma, ikan sebarau pun ada juga bertandang ke Sungai Rui.

Ikan loma dilihat dari jarak dekat.

Hujan lebat di awal November baru-baru ini menyaksikan ikan loma kembali memenuhi Sungai Rui. Penduduk sekitar sudah sedia maklum, biasanya hujan lebat sehingga menjadikan air sungai keruh sudah pasti akan membawa bersamanya ikan loma dan sebarau. Masa yang ditunggu untuk menyauk ikan sudah tiba. Sungai Rui sekali lagi menjadi tumpuan ramai.

Untuk kemudahan orang ramai berkumpul sambil menyauk ikan, sebuah dataran dikenali sebagai ‘Dataran Ikan Loma’ dibina di tebing Sungai Rui. Dataran ini juga menjadi tempat penduduk tempatan bersantai pada hari-hari biasa.

Sungai Rui yang menjadi lokasi pilihan penyauk ikan loma.


Istilah `menyauk’ digunakan kerana sauk adalah kaedah yang digunakan untuk menangkap ikan-ikan ini. Sauk ialah jaring  yang diikat kepada buluh panjang sebagai pemegang. Sauk ini pula ada yang besar dan ada yang sederhana besar. Dengan pemegang panjang, sauk membolehkan pemegangnya menyauk ikan dari tebing tanpa perlu turun ke dalam sungai.

Tidak sukar menyauk ikan. Hanya masukkan sauk ke dalam air untuk beberapa ketika dan angkat. Setiap kali sauk diangkat tentu ada hasilnya. Seronok melihat ikan loma melompat-lompat dalam sauk apabila diangkat.

PEKASAM

Hasil tangkapan yang banyak boleh menjadi sumber rezeki lumayan untuk masyarakat sekitar dan mereka yang gemarkan ikan darat. Tidak sukar untuk menjual ikan loma segar kerana pembeli sentiasa ada. Harganya boleh mencecah sehingga RM5 sekilogram.

Ikan loma memang digemari ramai, tambah lagi kedatangannya secara bermusim.

Selain itu ada yang menjual ikan loma dalam bentuk ikan pekasam untuk meraih harga jualan yang lebih tinggi. Ada yang menjual dalam paket, ada yang menjual dalam balang. Satu kilogram ikan pekasam boleh mencecah sehingga RM20 atau lebih.

Satu paket mengandungi dua atau tiga ekor ikan boleh mencecah sehingga RM5 atau lebih.

Bagi yang tidak berhasrat untuk menjual, ikan loma dibawa pulang untuk keperluan sendiri dan keluarga. Selain dimasak terus sebagai lauk, ada antara mereka yang rajin membuat pekasam untuk keperluan keluarga. Pendek kata untuk beberapa waktu, mereka ada bekalan ikan untuk dimakan.

CABARAN IKAN LOMA

Ikan loma memang sedap, baik yang dimasak terus atau dijadikan pekasam. Jika digoreng dan dimakan dengan nasi lagi lah sedap hingga mendorong seseorang untuk menambah nasi berkali-kali.

Cuma cabarannya ialah menyiang ikan loma, terutama jika dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana ikan loma adalah jenis ikan bersisik banyak dan halus, seperti ikan selangat. Namun kepenatan dan kesusahan ini berbaloi apabila merasai keenakan ikan tersebut.

Setahu penulis, ikan loma hanya terdapat di Sungai Perak. Nama saintifiknya ialah `Thynnichthys Thynnoides’. Bentuk badannya seperti ikan Tongsan atau Tomelian. Malah ia juga dipanggil sebagai Tongsan Lama. Makanan utama ikan ini adalah plankton dan tumbuhan air.

Perbezaan ikan loma (kecil) dan ikan sebarau (besar).


Ikan loma selalu bergerak dalam kumpulan yang besar. Kerana itulah apabila tiba musim  bergerak mudik ke hulu Sungai Rui jumlahnya sangat banyak, membolehkan orang ramai memperolehi hasil tangkapan yang lumayan.

Menyauk ikan loma memang menyeronokkan. Bagi penduduk setempat atau dari jauh, menyauk sudah menjadi aktiviti rutin setiap tahun. Memang geram melihat ikan bermain di dalam sungai dengan setiap kali sauk diangkat, banyak ikan yang terperangkap.

Salah seorang ‘pengunjung tetap’ Sungai Rui, Shaheeza Shakmi dari Ipoh ketika ditemui memberitahu, setiap tahun pada musim loma bertelur ini dia pasti akan datang ke Sungai Rui untuk menyauk.

Kebetulan memang dia ada saudara mara sebagai peneroka di Felda Bersia, Gerik. Jadi ada tempat berehat atau menumpang tidur.

Ikan sebarau...


Shahezaa atau dikenali sebagai Jija yang datang bersama suami dan anak ke Sungai Rui menambah, sewaktu turun ke tebing dan meletakkan sauk dalam sungai, sudah terasa debarannya.

Jija sudah bersiap sedia untuk menyauk ikan loma di Sg Rui, Perak.

"Terasa ikan menerjah sauk, mungkin mahu melepaskan diri apabila terperangkap. Lebih teruja apabila mengangkat sauk dan melihat ikan loma melompat-lompat di dalamnya," kata Jija.

Jija menyauk ikan untuk keperluan keluarga sendiri. Katanya, sebahagian ikan tersebut  untuk dimasak dan selebihnya dibuat pekasam.

IKAN LOMA SARAT TELUR

Bagi Jija, menyauk ikan sangat menyeronokkan. Hanya mereka yang pernah merasainya sahaja akan memahami keseronokan itu.

Oleh kerana musim ikan loma mudik ke hulu Sungai Rui adalah untuk bertelur, ikan betina yang disauk tentunya berisi telur. Inilah yang disukai para penyauk. Selain ikan, telurnya juga dalam kuantiti yang agak banyak. Telur ikan loma sedap digoreng atau dijadikan masakan lain yang bersesuaian.

Telur ikan loma yang digaul dengan rencah sebelum digoreng.


Menyauk ikan di Sungai Rui memberi pengalaman yang sukar dilupa. Bagi mereka yang belum pernah berbuat demikian pasti ingin merasainya. Datanglah bila ada kelapangan. Tidak sempat musim ini, datang pada musim depan.

Kalau belum bersedia hendak menyauk pun boleh sekadar jadi pemerhati dan menyaksikan sendiri keseronokan dan gelagat penyauk. Sungai Rui menunggu anda!

Tags / Kata Kunci: Ikan Loma , Sungai Rui

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan