Petanda Yang Bahaya

Diterbitkan: Jumaat, 8 November 2013 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Wong Chun Wai
Wong Chun Wai

KEADAAN sekarang sememangnya amat membimbangkan. Kalau ada orang yang menganggap perkara ini tidak serius, mungkin ada yang tidak kena dengan otaknya. Tidak kira siapa.

Dua pengawal keselamatan yang melakukan rompakan minggu lalu memiliki kad pengenalan palsu Malaysia. Dalam kejadian pertama, seorang pegawai bank mati.

Kalau mereka tidak menjadi penjenayah sekali pun, apakah kita akan membiarkan mereka menyamar sebagai warganegara dan berbesar hati menerima mereka sebagai saudara senegara?

Lebih parah, tidakkah orang asing yang memiliki MyKad itu mampu untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi dan mengambil bahagian dalam pilihan raya umum? Ingatan sebahagian besar kita singkat, termasuk ingatan penulis.

Kita telah lupa bahawa pada bulan Jun tahun ini, Jabatan Imigresen telah mendapati 307 dari 1,054 warga Myanmar yang diberkas dalam suatu operasi mempunyai kad dan dokumen palsu United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) Malaysia.

Ketua penguatkuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa menyatakan bahawa para pegawainya akan menemubual para pendatang terbabit untuk mengenal pasti sumber dokumen-dokumen palsu itu.

“Kita mahu tahu siapa yang terlibat. Siasatan masih di peringkat awal, saya tidak boleh memberi komen lanjut. “Hasil siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa dua minggu,” ujar beliau, sambil menambah bahawa kesalahan berkenaan tertakluk di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Dalam laporan lain, 1,000 warga Myamnar telah ditangkap oleh pasukan khas polis berikutan perkelahian yang tercetus di sini antara Muslim Myanmar dan rakan-rakan senegara mereka yang beragama Buddha. Didapati bahawa 196 orang daripada mereka tidak mempunyai dokumen yang sah, manaka 57 lagi memiliki kad palsu UNHCR Malaysia.

Saya tidak dapat mengikuti perkembangan selepas itu, tetapi saya pasti banyak warga Malaysia mahu mengetahui hasil siasatan jika ia dijalankan. Bagaimana pendatang asing terbabit boleh mendapat kad dan dokumen UNHCR Malaysia yang palsu? Apakah ada individu atau kumpulan yang ditangkap atau sekurang-kurangnya disiasat kerana memberikan dokumen palsu kepada warga asing terbabit? Telah berapa lama mereka tinggal di sini, bagaimana mereka masuk ke dalam negara kita dan, lebih penting, berapa banyak di kalangan mereka yang menampilkan diri sebagai pelarian?

Di bawah ini beberapa fakta yang diambil dari laman web UNHCR. > Setakat penghujung September 2013, terdapat sekitar 115,819 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

> Daripada jumlah itu, 107,110 orang datang dari Myanmar, merangkumi 38,445 pelarian Chin, 31,225 Rohingya, 10,992 Muslim Myanmar, 7,926 Rakhine, 3,601 Burma dan Bamar, 3,593 Mon, 3,343 Kachin dan beberapa etnik lain dari Myanmar.

> Selain mereka, terdapat 8,709 pelarian dan pemohon suaka dari negara-negara lain, termasuk 3,629 warga Sri Lanka, 1,136 Somali, 795 Iraq, 372 Afghan dan warga dari beberapa negara lain.

> Menurut laman web itu, 70% pelarian dan pemohon suaka terdiri daripada lelaki dan 30% wanita. Di kalangan mereka terdapat juga 26,226 kanak-kanak di bawah umur 18.

> Terdapat sejumlah besar pendatang yang berada di bawah bidang tugas UNHCR masih belum didaftarkan. Berdasarkan usaha pengumpulan data dan analisis UNHCR, dianggarkan sekitar 49,000 warga asing yang cuba mendapatkan suaka masih belum didaftarkan.

Bagaimana pula dengan pekerja asing di malaysia? Julai tahun ini, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Muttalib menyebut bahawa, menurut Jabatan Imigresen, setakat 31 Ogos 2012, terdapat 1.3 juta pendatang tanpa izin di negara ini dan 1.5 juta lagi mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara.

Kebanyakan warga Malaysia beranggapan bahawa angka sebenar pekerja asing tanpa izin adalah jauh lebih tinggi daripada angka rasmi. Bergantung kepada laporan mana yang anda baca, dianggarkan terdapat sekitar dua hingga lima juta pekerja asing tanpa izin di negara ini.

Nampaknya pekerja asing mengambil alih kedudukan kaum India yang merupakan kelompok etnik ketiga terbesar dalam negara ini.

Kita sebenarnya berharap dua juta pekerja asing yang ada dalam negara ini adalah saintis, pakar kewangan, ahli fizik, jurutera, dan ahli akademik. Malangnya yang masuk adalah pekerja berkemahiran rendah.

Singapura tampaknya lebih berjaya menarik pekerja asing berkemahiran tinggi ke negara itu.

Kita sedar para pemimpin kita tidak gemar dengan perbandingan sebegini, tapi ini adalah satu hakikat.

Namun kita juga perlu mengakui bahawa dalam kita mengeluh dan mengadu tentang kebanjiran pendatang asing, kita memerlukan mereka.

Negara ini bergantung pada pekerja asing dalam bidang pengeluaran, pembinaan dan pertanian.

Sukar untuk kita menguruskan rumah tanpa pembantu rumah asing, walaupun kediaman kita hanyalah pangsapuri dua bilik.

Kita tidak mampu menggosok baju sendiri, kita tidak mahu mencuci tandas sendiri, dan anak-anak kita bergantung sepenuhnya pada “Bibi” untuk melakukan segala sesuatu bagi mereka, sehinggakan ramai anak kita yang belajar di luar negeri mahu kembali ke tanah air, bukan untuk berbakti kepada negara tetapi kerana kehidupan di Malaysia amat selesa. Antara yang mereka rindukan adalah pembantu rumah mereka yang berasal dari Indonesia.

Banyak di kalangan kita yang bukan setakat bergantung, malah ketagihkan pekerja asing, terutamanya pembantu rumah warga asing. Mungkin tiada negara lain di dunia yang perdana menterinya terpaksa bertanya kepada rakan-rakan sejawatannya di kalangan pemimpin negara Asean sama ada rakyat mereka mahu datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Oh, mungkin perdana menteri Singapura pun akan melakukan perkara yang sama.

Setiap kali kita membaca tentang pendatang asing yang memiliki dokumen palsu, darah kita mendidih. Memang patut untuk kita naik darah. Tetapi pada masa yang sama, kita perlu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Selagi permintaan masih tinggi, orang-orang yang “berdaya keusahawanan” akan terus mencari jalan untuk memenuhi permintaan, tidak kira dengan jalan sah atau tidak.

Kita sanggup menelan hakikat bahawa kita perlukan pengawal keselamatan asing untuk gedung-gedung beli-belah, kawasan kediaman dan pejabat-pejabat swasta. Tetapi petanda bahaya perlu dikeluarkan apabila mereka turut mengawal keselamatan pejabat-pejabat kerajaan.

Sesuatu yang menggusarkan apabila kita menyerahkan kerja mengawal pejabat-pejabat strategik kita kepada rakyat asing. Setakat ini kita tidak meneliti latar belakang mereka dengan baik.

Selain itu, terlalu banyak pekerja asing yang bekerja di lapangan terbang kita, sedangkan lapangan terbang adalah satu lagi kawasan di mana keselamatan adalah perkara yang paling utama.

Nampaknya kita seolah-olah telah hilang kawalan, manakala penguatkuasaan undang-undang kita telah terjejas. Tiba masanya untuk kita meneliti dan merenung keadaan ini secara lebih serius. Soal keselamatan negara tidak boleh ditangani secara sambil lewa.

Kita tentu tidak mahu warga asing mendarat ke Malaysia dan merasakan diri mereka boleh menjadi warganegara Malaysia secara automatik.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan