Pisang Tanduk Di Merlimau Dapat Sambutan

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

REZEKI ... Peniaga buah Daud Tulus, menyusun pisang tanduk di kedainya di pekan Merlimau di sini, hari ini. Daud yang lapan tahun membuka kedai buah-buahan di Bandar Merlimau berkata, jualan pisang tanduk yang sememangnya menarik perhatian terutama orang luar semakin meningkat menjelang pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Ahad ini. Beliau menjual pada harga RM3 sekilogram dan setiap tandan mempunyai antara 10 dan 12 biji pisang.- Foto BERNAMA.
REZEKI ... Peniaga buah Daud Tulus, menyusun pisang tanduk di kedainya di pekan Merlimau di sini, hari ini. Daud yang lapan tahun membuka kedai buah-buahan di Bandar Merlimau berkata, jualan pisang tanduk yang sememangnya menarik perhatian terutama orang luar semakin meningkat menjelang pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Ahad ini. Beliau menjual pada harga RM3 sekilogram dan setiap tandan mempunyai antara 10 dan 12 biji pisang.- Foto BERNAMA.

JASIN: Sekiranya berkunjung ke Bandar Merlimau pasti anda tidak akan terlepas pandang gantungan pisang tanduk di deretan kedai buah-buahan di tepi jalan.

Keistimewaan pisang ini ialah ia bersaiz besar hingga ada yang mencapai satu kaki panjang dan dinamai pisang tanduk kerana bentuknya seperti tanduk.

Saiz dan bentuk rupa pisang ini bukan sahaja menjadikannya berbeza daripada pisang lain.

Pisang tanduk kebiasaannya mengeluarkan antara 10 dan 12 biji buah sahaja untuk satu tandan berbeza daripada pisang biasa malahan dari segi rasa juga berbeza.

Kawasan yang dikenalpasti terdapat banyak tanaman pisang ini ialah Kampung Rim, Jasin.

Tunggu Lama Untuk Tuai

"Pisang ni kalau tanam hasilnya dalam lapan ke sembilan bulan baru dapat, walaupun cara tanamnya sama macam pokok pisang lain tetapi, itulah...lama sikit la nak tunggu hasil," kata Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Jasin, Mahathir Omar.

Berbanding penanaman pisang lain, ia hanya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum dituai.

Namun begitu, penanam pokok pisang tanduk juga boleh menambah pendapatan apabila anak pokok pisangnya juga mendapat permintaan yang baik.

"Selalunya selepas ditebang, satu rumpun pokok boleh menghasilkan 12 hingga 18 anak pokok, jadi ia agak lumayan," katanya bahawa setiap anak pokok pisang itu dijual dengan harga RM0.60 sepokok. Beliau berkata, pisang tanduk semakin terkenal sejak akhir-akhir ini di sini berikutan daya tahannya terhadap penyakit yang biasa menyerang pisang seperti 'Fusarium wilt' dan 'Moko disease'.

Bagi membantu petani setempat, Jabatan Pertanian tidaklah membiarkan mereka begitu sahaja, geran RM$6,000 bagi setiap 0.4 hektar (satu ekar) diberikan kepada setiap petani buah-buahan dan ini termasuklah penanam pokok pisang tanduk. "Geran ini meliputi perbelanjaan bagi baja, racun dan benih, bagaimanapun perbelanjaan yang selebihnya perlu ditanggung sendiri oleh petani," katanya.

Terkenal Selepas Dikomersialkan

Tambah beliau, pisang tanduk terus menjadi permintaan orang ramai di kawasan Merlimau selepas dikomersialkan untuk industri kerepek dan pisang goreng.

Pembantu di Syarikat Anak Desa AH Kamisah Enterprise yang mengusahakan perniagaan kerepek pelbagai jenis, Rukini Abdul Hamid berkata, penggunaan serius pisang tanduk untuk dibuat kerepek oleh syarikatnya bermula pada tahun 2008.

"Pisang tanduk memang kita guna sejak tahun 2002, tapi tidaklah banyak, sebelum ini banyak guna pisang Nangka dan pisang Nipah, tetapi dah susah nak dapatkan pisang tu di sini sekarang," katanya.

Setiap hari beliau menerima kira-kira lima tandan pisang yang boleh menjangkau berat sehingga 40 kilogram.

Kerepek pisang tanduk syarikat itu dijual dengan harga RM16 setiap kilogram.

Syarikat berkenaan memulakan perniagaan sejak 1987 dengan mendapat bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). "Alhamdulillah sekarang niaga pun agak menjadi walaupun dibuat kecil-kecilan," katanya.

Terus Dapat Permintaan

Mengenai masa depan permintaan pisang tanduk, seorang pengusaha ladang pisang tanduk, Syed Idrus Syed Abdullah, 43, berpendapat selagi ada orang yang makan goreng pisang dan kerepek pisang tanduk permintaan terhadap pisang tanduk tidak akan putus.

Sejak tujuh tahun mengusahakan tanaman itu di ladang seluas 16 hektar, beliau belum pernah menghadapi masalah dari segi pemasaran.

"Pasaran ini menjangkau sehingga ke Sepang, Johor dan kadang-kadang dipasarkan menerusi Fama," katanya menambah bahawa pasarannya masih belum lagi menembusi pasaran luar negara.

Beliau berkata, tanah yang digunakan adalah tanah sawah terbiar dan kira-kira 800 batang pokok ditanam di setiap 0.4 hektar tanah.

Syed Idrus berkata, cara penanaman pisang ini sama seperti pisang yang lain.

Saiz pokok juga adalah sama. Bagaimanapun, yang unik mengenai pokok pisang tanduk ini ialah ia tidak mempunyai jantung.

Pilihan Raya Hangatkan Jualan

Daud Tulus, yang lapan tahun membuka kedai buah-buahan di Bandar Merlimau berkata, jualan pisang tanduk yang sememangnya menarik perhatian terutama orang luar semakin meningkat menjelang pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Merlimau pada 6 Mac.

"Semalam sahaja satu van dari Pulau Pinang borong, kebanyakan sekarang ni, orang luar lah yang membeli pisang-pisang ni kerana unik kata mereka," katanya yang memang peramah. Daud berkata, setiap kilogram dijual dengan harga RM3 dan setiap tandan mempunyai antara 10 dan 12 biji pisang.

Beliau berkata, selain orang tempatan, kedai beliau turut dikunjungi orang dari luar negara yang tertarik dengan keunikan saiz buah berkenaan.

Kerja Tidak Berhenti

"Kami bekerja tidak henti sejak kempen pilihan raya bermula," kata seorang peniaga goreng pisang tanduk di Bandar Merlimau, Mohd Iskandar Mat, 29.

Beliau yang sudah berniaga pisang tanduk goreng sejak 10 tahun lepas turut mengakui kerjanya tidak menang tangan sejak kempen pilihan raya bermula Sabtu lepas.

"Selalunya setiap hari boleh dapat dalam RM300 hingga RM400, tetapi sekarang jualannya meningkat tiap-tiap hari," katanya yang tidak mahu mendedahkan berapa jumlah pendapatan sebenarnya sekarang.

Selain pisang tanduk goreng, gerainya turut menjual cendawan goreng dan ubi goreng. "Saya jual empat keping pisang goreng ini RM1," Katanya.

Rasa Yang Sedap

Seorang suri rumah, Nabilah Abdullah, 25, berkata pisang goreng ini sedap dimakan pada waktu petang bersama keluarga sambil bersembang.

Beliau yang mempunyai seorang anak berusia enam bulan juga berkata pisang tanduk susah didapati di kawasan lain.

"Di sini saja yang senang dapat pisang tanduk goreng, suami saya yang berasal dari Kelantan pun mengakuinya," katanya yang menetap di Kampung Kilang Berapi. -BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan