suria

Tukar Sampah Menjadi "Emas" Di Melaka

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kanan) terpaksa menutup hidung kerana tidak dapat menahan bau busuk ketika melawat Tapak Pelupusan Sampah Krubong di Melaka, baru-baru ini. Mohd Ali cuba memanfaatkan sampah di kawasan pelupusan itu menjadi sesuatu yang berguna seperti gas metana daripada pereputan sampah itu sesuai dijadikan bahan api. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kanan) terpaksa menutup hidung kerana tidak dapat menahan bau busuk ketika melawat Tapak Pelupusan Sampah Krubong di Melaka, baru-baru ini. Mohd Ali cuba memanfaatkan sampah di kawasan pelupusan itu menjadi sesuatu yang berguna seperti gas metana daripada pereputan sampah itu sesuai dijadikan bahan api. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kanan) terpaksa menutup hidung kerana tidak dapat menahan bau busuk ketika melawat Tapak Pelupusan Sampah Krubong di Melaka, baru-baru ini. Mohd Ali cuba memanfaatkan sampah di kawasan pelupusan itu menjadi sesuatu yang berguna seperti gas metana daripada pereputan sampah itu sesuai dijadikan bahan api. - Foto BERNAMA

MELAKA: Dalam membicarakan soal sampah dan kaedah pelupusannya di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengajak penduduk negeri dan pelbagai pihak berkaitan supaya berganding bahu menyelesaikan masalah lambakan sampah dan pelupusannya di negeri ini.

Melalui visi "Go Green" Melaka, Mohd Ali menarik perhatian bahawa satu daripada caranya ialah melalui program, "Turning Waste Into Gold" - menukar keadaan semula jadi sampah yang menjijikkan kepada sumber pendapatan baru rakyat.

Kitar semula merupakan pendekatan yang dilihat paling sesuai, kerana selain menambah pendapatan ia juga dapat menyelamatkan bumi Melaka daripada ditutupi timbunan sampah.

"Semua orang tahu bahan seperti kertas, besi dan pelbagai lagi boleh dijual kepada pengedar barangan terpakai, boleh buat duit tetapi kenapa tidak ramai yang buat? soal beliau.

Mohd Ali mahu setiap penduduk mulai sekarang cuba mengasingkan sampah yang boleh dijadikan bahan kitar semula.

"Sampah daripada jenis organik seperti makanan boleh diproses menjadi baja dan bahan buangan organik pertanian seperti sekam padi pula boleh dijadikan makanan ternakan," katanya.

Beliau berkongsi pandangan ini dengan pemberita selepas melawat tapak pelupusan sampah di Krubong baru-baru ini.

KONSEP KITAR SEMULA TAHAP BARU

Dari segi usaha berskala besar, Mohd Ali cuba membawa konsep kitar semula ke suatu tahap yang baru iaitu menukar lambakan sampah di tapak pelupusan sampah di Krubong kepada sumber tenaga bahan api.

Ketua Menteri berkata semasa beliau di luar negara, beliau sering melihat corong yang keluar dari dalam tanah bekas tapak pembuangan sampah yang ditimbus semula.

Corong-corong itu merupakan saluran yang membawa gas jenis metana dan karbon diaoksida yang terhasil daripada penguraian sampah di bawah bekas pembuangan sampah itu.

"Kami sedang mengkaji untuk mengekstrak gas itu di tapak pelupusan sampah di Krubong. Banyak kegunaannya gas ini, macam metana digunakan untuk bahan bakar yang lebih bersih berbanding petrol dan arang batu, lebih bersih maknanya boleh selamatkan lagi alam sekitar kita," katanya.

Selain mengekstrak gas, kerajaan negeri juga sedang mengkaji untuk mengekstrak minyak daripada timbunan sampah itu di mana usaha sedang dilakukan untuk menukar minyak itu menjadi bahan api bio-diesel.

Menurut Mohd Ali, rakyat Melaka menghasilkan antara 1,300 tan dan 1,400 tan sampah sehari manakala kos untuk penimbusan tanah di tapak pelupusan sampah, mencecah RM70,000 sehari.

Selain baki jangka hayat antara dua dan tiga tahun tapak pelupusan sampah di Krubong itu, satu lagi tapak pelupusan sampah di Sungai Udang di sini hanya mempunyai jangka hayat lima tahun dan selepas tempoh itu tapak pelupusan baru perlu dicari.

Mohd Ali mempersoal; "Sampai bila kita nak buat begini, dengan kitar semula kita boleh panjangkan usia tapak pelupusan sampah ini tetapi tapak itu masih juga diisi dengan sampah yang langsung tidak boleh kitar semula, bagaimana kita nak hapuskan terus semua ini?.

PEMBINAAN INSINERATOR PENYELESAIAN MUTLAK

Beliau bercadang membina insinerator, alat pembakar sampah yang mampu menukar sampah yang tidak boleh dikitar semula menjadi "emas".

Abu yang terhasil daripada sampah yang dibakar ini boleh dibentuk menjadi batu bata untuk kegunaan pembinaan dan haba yang terhasil daripada alat itu berpotensi untuk menjana elektrik seperti dilakukan di luar negara.

Walaupun ada pihak yang mempersoal penggunaan insinerator, kerana kata mereka, menyumbang kepada pencemaran udara, Mohd Ali berkata insinerator diakui ada melepaskan asap tetapi asap itu terkawal dan tidak mencemarkan udara berbanding pencemaran lebih teruk yang dihasilkan sampah itu melalui pembakaran terbuka.

Sememangnya insinerator yang mempunyai usia antara lebih 30 tahun itu dilihat sebagai penyelesaian mutlak tetapi tanda harga RM500 juta menjadi kekangan ia dilaksanakan di Melaka.

"Apapun kami sudah sediakan tanah seluas 4 hektar di Sungai Udang untuk insinerator itu, kami sudah minta insinerator itu dengan kerajaan pusat sejak 10 tahun lepas dan kami akan terus minta," katanya.

Selain langkah menangani sampah yang terhasil, Mohd Ali juga sedang berusaha menyedarkan rakyat di negeri ini tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Bagi merealisasikan usaha itu, mulai 1 Jan depan kerajaan negeri bercadang mengenakan bayaran antara 10 sen dan 20 sen kepada sesiapa yang ingin menggunakan beg plastik ketika membeli barang.

"Saya difahamkan ada pasar raya di Melaka yang sudah mulakan usaha ini, duit yang mereka kutip itu mereka salurkan untuk tabung jaga alam sekitar, saya amat tertarik dengan konsep ini dan mahu praktikkan di seluruh Melaka," katanya.

Malah beliau mencadangkan beg kitar semula itu dihasilkan daripada pemidang dan kain rentang terbuang di sekitar Melaka. - BERNAMA

Artikel Lain