suria

Belayar Menyusuri Sungai Tarikan Baru Pelancong Ke Taman Tamadun Islam

KUALA TERENGGANU: Perkhidmatan belayar menyusuri Sungai Terengganu yang disediakan Taman Tamadun Islam (TTI) kini menjadi tarikan baru pelancong ke destinasi itu.

Pengurus Jualan dan Pemasaran TTI Nor Sabihah Fidri berkata setiap hari pihaknya menerima kunjungan kira-kira 400 pelancong untuk menaiki pelbagai jenis bot yang disediakan di situ.

"Kita terima pengunjung untuk menaiki bot antara tujuh dan lapan kali sehari menyusuri sungai Terengganu yang mengambil masa kira-kira 40 minit sejauh sembilan kilometer," katanya kepada pemberita sempena Program Kuiz Santai TTI-Terengganu FM (TFM) di sini, Sabtu.

Pertandingan Kuiz Santai dengan kerjasama TFM itu bermula pada 1 Disember 2010 hingga 31 Januari ini menyediakan soalan-soalan merangkumi info mengenai TTI, TFM dan pelancongan negeri Terengganu yang akan disiarkan melalui stesen radio itu.

Nor Sabihah berkata bagi perkhidmatan River Cruise, TTI menyediakan beberapa jenis bot seperti Sri Wan Man, Seri Kristal dan Seri Warisan yang mampu membawa pelancong seramai 45 orang sekali perjalanan dengan bayaran RM10 seorang termasuk perlindungan insuran.

Selain itu, TTI juga mempunyai dua buah bot jenis kolek yang boleh membawa enam orang penumpang dan tiga buah bot payang bagi membawa 12 penumpang.

Beliau berkata bagi meningkatkan lagi perkhidmatan River Cruise, TTI kini mengadakan pekej dengan menyediakan juadah nasi dagang serta kuih-muih bagi menambahkan lagi keseronokan semasa menyusuri sungai itu dengan mengenakan bayaran RM25 seorang bagi satu perjalanan.

Katanya mereka, yang inginkan pakej penyediaan juadah itu, hendaklah membuat tempahan terlebih dahulu dengan penyertaan 32 penumpang sekali perjalanan.

Nor Sabihah berkata selain keseronokan belayar, pelancong juga boleh menikmati keindahan TTI dengan melawat 21 monumen masjid dan tempat-tempat bersejarah Islam.

"Kini TTI sedang membina sebuah lagi masjid bersejarah iaitu Masjid Sultan Singapura dan sebuah kincir air sebagai tarikan baru di pusat pelancongan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain