Alam Sekitar Yang Lebih Baik, Aspirasi 'EcoKnights'

Diterbitkan: Selasa, 4 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 'EcoKnights' ialah sebuah organisasi bukan kerajaan yang menganjurkan program jangkauan khasnya untuk mendekati generasi muda dan masyarakat pada amnya, supaya lebih bersemangat dalam memulihara alam sekitar.

Pengasasnya Yasmin Rasyid, 34, memang mempunyai semangat dan kesungguhan yang mendalam mengenai usaha memulihara alam sekitar.

"EcoKnights ialah bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas tetapi ada sukarelawan dari semuda umur 16 tahun yang terlibat dalam projek kami. Tujuannya ialah untuk mendorong masyarakat mengamalkan apa yang diajar atau diperdengar kepada mereka mengenai usaha memulihara alam sekitar," kata Yasmin, yang mengasaskan EcoKnight pada 2004, kepada Bernama.

Beliau ialah pakar biologi tetapi mempunyai jiwa sebagai seorang pencinta atau pejuang alam semula jadi. Yasmin ialah lulusan bidang kaji hayat dari Duke University, North Carolina, Amerika Syarikat. Beliau juga mempunyai ijazah sarjana dalam bioteknologi dari Universiti Malaya (UM).

Yasmin mempunyai pengalaman yang luas sebagai Pegawai Sains bersama WWF Malaysia di mana fokus beliau ialah tentang pencemaran air. Beliau juga merupakan pensyarah sambilan dalam bidang etika dan pengurusan alam sekitar di UM dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

EcoKnights mempunyai 12 petugas yang memberi komitmen terhadap hal pentadbiran serta juga menyelia projek-projek badan itu berkaitan alam sekitar.

BERGERAK SECARA SINERGI

Yasmin percaya dengan langkah menggerakkan secara sinergi usaha EcoKnights bersama badan-badan lain, supaya sasarannya diperluas.

"Ia akan menjadi lebih besar secara kolektif. Kami boleh mencetuskan lebih kesedaran secara umumnya," terang Yasmin.

Yasmin bersama dengan 'tentera hijaunya' mengambil bahagian dalam pelbagai projek sekolah mengenai alam sekitar. Buat ketika in EcoKnights membimbing 10 sekolah di Petaling Jaya dalam projek memulihara alam sekitar.

"Tujuannya ialah melengkapkan generasi muda serta ahli masyarakat yang lain dengan semarak idea tentang etika alam sekitar", kata beliau.

"Agama mengajar kita menyayangi alam semula jadi bagi menjaga alam sekitar dan kehijauan di sekeliling kita dan caranya ialah dengan mencari alternatif. Contohnya pelanggan boleh bertegas mahukan alternatif kepada bekas styrofoam yang tidak boleh lupus daripada penjual makanan," kata Yasmin.

Oleh itu Yasmin memang menyokong Kempen 'Hari Tanpa Plastik' yang dijalankan di Selangor setiap Sabtu.

Beliau juga berkata ada pihak berkuasa tempatan yang menyokong 'program hijau' tetapi ada juga yang masih belum menyertainya.

"Pihak berkuasa boleh menjadi contoh. Masyarakat serta kerajaan dan juga sektor korporat boleh bekerjasama untuk mencapai alam sekitar yang mampan", kata Yasmin.

MEMUPUK GENERASI MUDA

EcoKnights mempunyai harapan yang tinggi dan Yasmin sedang merancang membabitkan organisasi itu dalam lebih banyak program alam semula jadi untuk masyarakat.

"Kalau boleh kita mahu gerakkan badan-badan kerajaan dan juga korporat secara sinergi. Mereka seharusnya melakukan sesuatu yang lebih besar. Saya berpendapat perkataan 'hijau' tidaklah perlu selalu sangat digunakan dalam kempen dan projek. Fokus sepatutnya terhadap membentuk masyarakat Malaysia menjadi apa yang diharapkan pada esoknya, mulai dari hari ini," kata beliau.

Kehijauan yang mampan bagi gaya hidup yang mampan, itulah halatuju yang sepatutnya bagi rakyat Malaysia, kata beliau.

Yasmin percaya hasrat ini boleh dicapai terutama bila terdapat lebih sokongan dalam bentuk dana yang dikeluarkan kepada usahawan industri 'hijau' di negara ini.

PERSIDANGAN INTERAKTIF BERTARAF DUNIA

"Kami mengadakan persidangan interaktif pada awal bulan Mei. Oleh itu komunikasi dua hala memang diperlukan.

Kami mahu membawa maklumat tentang alam sekitar kepada masyarakat dan mahu ia disampaikan kepada yang lain bagi melengkapkan satu rangkaian yang panjang dan berfaedah," Yasmin berkongsi harapan beliau.

Persidangan dan Bengkel Dunia CSR/SRI (Tanggungjawab Sosial Korporat/Pelaburan Bertanggungjawab Sosial)diadakan pada 4-6 Mei di sini yang mengumpulkan satu panel pemimpin korporat serta eksekutif perniagaan bagi menjana idea baru dan bertukar-tukar fikiran mengenai 'Inisiatif Mampan dalam Menghadapi Cabaran Mendatang'.

Antara topik menarik yang akan dibincangkan ialah tanggungjawab terhadap alam sekitar serta kegunaan CSR sebagai alat pembangunan.

Tujuh belas pesonaliti alam sekitar antarabangsa dan juga dari Malaysia termasuk Yasmin akan menceritakan pengalaman serta pengetahuan mereka di bawah beberapa topik kepentingan bersama seperti perubahan alam sekitar serta iklim, sosial dan kemasyarakatan. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan