Donut semakin mesra dengan rakyat Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 29 Oktober 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DONUT ialah sejenis pastri yang digoreng di dalam minyak yang banyak dan dipercayai berasal dari benua Amerika.

Terdapat pelbagai jenis donut dan pastri ini kini bukan sahaja dimakan ketika sarapan pagi tetapi menjadi hidangan pada waktu makan lain dan di waktu santai.

Dua jenis yang paling popular ialah berbentuk cincin dan yang berisi jem, jeli, krim, kastard dan juga isian manis yang lain.

Di negara ini, donut menjadi semakin popular dalam kalangan orang ramai dan ini dapat dilihat daripada kemunculan bagai cendawan tumbuh kedai dan kiosk menjual donut di Lembah Klang.

Kehadiran premis-premis ini di kompleks membeli-belah serta stesen minyak juga membuktikan semakin mesranya donut dengan selera rakyat Malaysia.

DONUT POPULAR

Antara kiosk pertama yang menghidangkan donut di negara ini ialah 'Dunkin' Donuts'. Bagaimanapun Dunkin' Donuts kini bukan lagi satu-satunya jenama donut di pasaran tempatan.

Kini, 'Krispy Kreme' turut menembusi pasaran Malaysia sejak April tahun ini, menjadikan Malaysia sebagai destinasi ke-17 rangkaian jenama donut ini.

Terdapat juga nama-nama lain dalam industri donut negara seperti 'J.CO Donuts' dari Indonesia dan jenama tempatan yang turut popular, 'Big Apple Donuts'.

Donut yang mempunyai pelbagai rasa sering dipamerkan di dalam cermin kaca kedai-kedai dan kafe donut. Terdapat variasi dari jenis klasik hingga kepada donut yang ditabur gula serta perasa buah dan yang disalut coklat termasuk juga yang menggamit pencinta aiskrim.

DONUT SEMAKIN MENARIK PERHATIAN

Donut semakin menarik perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia, kata Alex Chong, Pengurus Besar Krispy Kreme Malaysia.

"Hari ini, donut semakin menjadi sebahagian daripada menu makanan mereka," katanya.

Menurut Chong, minat makan donut dalam kalangan umum telah meningkat dibandingkan dengan beberapa tahun lalu dan ini membuatkan Krispy Kreme menempatkan perniagaannya di Malaysia.

Kata beliau, Krispy Kreme berhasrat membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Kini syarikat itu agresif dalam usaha meningkatkan pembaharuan dalam pengeluaran donutnya.

Ini akan membantu dalam memenuhi cita rasa masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kami mengalu-alukan maklum balas daripada pelanggan. Kami mahu menyebarkan budaya berkongsi rasa dalam kalangan rakyat Malaysia," tambah Chong.

JANGKAAN PELANGGAN

Beberapa pengunjung ke kafe donut yang ditanya pendapat mereka tentang donut hari ini memberi pandangan berbeza - ada yang menjadikan donut satu kemestian setiap minggu dan ada pula yang masih berupaya mengelak daripada menjadikannya rutin makanan mereka.

Bagi Chantelle Chuah, beliau berharap satu hari nanti akan muncul jenis donut yang dicelup dadih (yogurt).

"Sebenarnya, versi yang ada sekarang ini terlalu manis buat saya. Saya tak berapa kisah dengan donut yang berperisa buah tetapi berharap agar ada yang dibuat daripada tepung yang lebih sihat ...selain daripada gandum.

"Seperti oat, bran dan juga yang mempunyai tambahan perisa seperti yogurt" kata Chuah bila ditanya tentang donut cincin yang berwarna-warni.

Chuah jarang sekali mengunjungi kedai-kedai donut ini dan tidak berapa kisah kalau tidak dapat menjamah makanan ini, tidak seperti rakannya, Cassandra Patrick yang perlu membeli donut sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Bagi Cassandra, donut merupakan trend terkini dan bilangan peminat makanan ini semakin meningkat dan menjadi ikutan ramai.

"Saya beli dan makan donut setiap minggu. Rakan saya dari generasi yang sama pun begitu kerana mereka tertarik dengan kafe donut yang dihias cantik dan berwarna-warni serta persekitarannya yang menarik.

"Ini ialah pendekatan baru yang menyeronokkan, jadi kami dapat menikmati pastri ini dalam suasana penuh selesa...sambil relaks berborak," kata Cassandra sambil ketawa.

BELASAN TAHUN

Bagi generasi belasan tahun, donut ialah sebahagian daripada tarikan ke majlis hari jadi serta keramaian.

Bagi Zahirah Wahidin, 16, donut berisi coklat menjadi kegemarannya.

"(Coklat) ini diisi mewah di dalam donut, sungguh enak dan menyelerakan bila dimakan," katanya sambil mengunyah donut kesukaannya.

Donut kini semakin kerap dihidangkan di majlis keramaian, jamuan keluarga serta juga pertemuan formal di antara rakan-rakan sepejabat.

Kandungan kalorinya agak boleh diterima oleh rakyat Malaysia kerana ia dikira sebagai hidangan 'pencuci mulut' dan tidak selalu muncul di atas meja makan.

Tetapi awas tentang kandungan gulanya yang agak tinggi.

Apapun, memakan donut sudah menjadi trend yang semakin popular bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dunia. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan