suria

Menyanyi Lagu Kebangsaan 83 Negara? Tiada Masalah Bagi Anak Jati KL

KUALA LUMPUR: "Saya suka menyanyi", katanya penuh bersemangat.

Beberapa detik kemudian, beliau dengan secara spontan menyanyikan sebuah lagu bahasa asing yang rentak dan temponya boleh membuatkan pendengar mahu menggoyangkan dan menghentakkan kaki mengikut irama.

Tetapi apa pula yang dinyanyikan beliau hingga membuatkan pendengar agak terpegun.

"Itulah lagu kebangsaan (negara) Itali. Nombor 21 dalam senarai (ini)," kata beliau sambil menghulurkan sekeping kertas yang mempunyai senarai nama negara di dunia.

Sekali imbas daripada apa yang tertera dalam senarai itu mendapati Kanada terletak di tempat paling atas dan Turkmenistan pada kedudukan paling bawah. Di antaranya tersenarai nama negara lain seperti Bulgaria, Maghribi dan Vanuatu.

"Anda boleh menyanyi lagu kebangsaan Vanuatu? Ramai yang tak tahu pun di mana letaknya negara itu!", kata penulis yang agak terpegun dengan kebolehan beliau.

Itulah Thean See Xien, 23, seorang anak jati Kuala Lumpur yang mempunyai kebolehan menyanyikan lagu kebangsaan 83 negara asing.

HOBI MENARIK

Agak sukar untuk mempercayai bahawa hobi Thean yang unik ini muncul ketika beliau diulit kebosanan.

Jika anak-anak muda dalam lingkungan umur beliau biasanya sibuk menghafal lagu-lagu 'hit' dari carta radio, hobi Thean pula bermula enam tahun dulu ketika beliau mengikuti pengajian 'A-Level'.

"Saya terjumpa MP3 lagu-lagu kebangsaan bila sedang cuba mencari muzik yang baik untuk di muat turun dan saya rasa satu keseronokan untuk mempelajari lagu-lagu ini.

"Pada masa yang sama, saya juga berusaha mengenali dengan lebih mendalam negara asal lagu kebangsaan itu. Sejak itu hobi ini semakin mengasyikkan dan saya mula mencari lebih banyak lagu sehinggakan ia menjadi satu kegemaran bagi saya sehingga ke hari ini."

Menariknya, Thean merupakan ahli Mensa dan mempunyai IQ 176. Mungkinkah ini yang membuatkan beliau dengan agak mudah mempelajari lagu kebangsaan negara asing, termasuk negara Rusia yang bahasanya agak keras hinggalah kepada lagu kebangsaan negara India dalam bahasa Benggali?

"Saya tidak fikir ia disebabkan faktor keupayaan tapi lebih kepada minat dan dedikasi. Sesiapa pun boleh menghafal lagu kegemaran mereka. Kebetulan bagi saya, lagu kegemaran saya ialah lagu-lagu kebangsaan.

"Kalau kita berminat terhadap sesuatu, berlatihlah secukupnya dengan penuh komitmen, barulah kita menjadi mahir," kata pegawai undang-undang sebuah syarikat tempatan itu.

MUZIK, RAKAN MERENTASI SEMPADAN

Bila seseorang itu boleh menyanyikan lagu kebangsaan 83 negara, sudah tentunya mencari kenalan bukan sesuatu yang sukar.

"Ketika saya di UK untuk melanjutkan pelajaran di universiti, saya bertemu ramai pelajar asing. Saya ini agak pemalu dan kebolehan ini banyak membantu. Di negara sendiri, kawan dari negara asing juga senang didampingi".

Sama ada Thean bernyanyi di hadapan rakan atau pelancong asing, tidak sukar untuk melihat mereka ini tertarik dengan kebolehan beliau.

Selain mempamerkan semangat patriotik, sesebuah lagu kebangsaan itu biasanya menjadi tunggak kepada jiwa sebuah negara. Simbol sejarah dan bahasanya memberikan pengertian khusus kepada semangat rakyat sesebuah negara itu serta perjuangan dan aspirasinya.

Sambil mempelajari sesebuah lagu kebangsaan yang baru, Thean juga banyak membaca mengenai sesebuah negara itu, budayanya dan kiasannya dan walaupun berkebolehan menyanyikan lagu-lagu itu dengan sebutan yang betul, Thean mengakui ada bahasa yang sukar ditiru sebutannya.

"Bahasa Inggeris dan Melayu memang paling senang. Bahasa Arab ialah yang paling sukar kerana saya tidak biasa dengan konsonannya. Saya juga menghadapi kesukaran dengan lagu kebangsaan Thailand, Kemboja dan Vietnam," katanya.

REAKSI DARIPADA KEDUTAAN ASING

Keupayaan Thean menarik perhatian beberapa kedutaan asing di ibu negara.

Tentang keupayaan beliau menyanyikan lagu kebangsaan Sweden, "Du gamla, Dufria", Duta negara itu Helena Sangeland berkata: "Sebutan beliau memang baik sekali walaupun beliau tidak pandai berbahasa Sweden.

"Minat beliau terhadap lagu kebangsaan negara lain mencerminkan rakyat Malaysia yang berminat dengan kebudayaan lain dan ini ialah lambang kemesraan Malaysia.

"Nyanyian beliau adalah sumbangan terhadap semangat kebangsaan Malaysia dan juga (sambutan) Hari Kemerdekaan yang akan datang".

Kaunselor bagi Suruhanjaya Tinggi Afrika Selatan, Andre van de Venter berkata lagu kebangsaan negaranya "Nkosi sikelel' iAfrika" mengandungi empat daripada 11 bahasa rasmi negara itu.

"Bagi Thean sebagai seorang rakyat Malaysia, menyanyikan patah-patah lagu ini bukan sahaja sesuatu yang luar biasa tetapi juga menunjukkan yang beliau berupaya mengenali aspirasi negara dan rakyatnya", katanya.

Dengan keupayaan beliau menyanyikan lagu kebangsaan dari pelbagai negara, Thean telah mengajak mereka yang lain untuk merentas jurang perbezaan budaya dan bangsa.

Bertepatan dengan sambutan hari Merdeka semakin hampir, Thean boleh dianggap satu inspirasi bagi rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk berdiri teguh di belakang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menegakkan konsep 1Malaysia.

Duta Venezuela, Manuel Guzman yang begitu terharu bila mendengar lagu kebangsaan negara itu dinyanyikan Thean, "Gloria al Bravo Pueblo", berkata, "lagu kebangsaan kami ialah mengenai seruan perjuangan menuntut kebebasan. Bila mendengar seorang rakyat Malaysia menyanyikan lagu ini, ia di luar jangkaan saya.

"Republik Venezuela mengucapkan tahniah kepada Malaysia sempena ulang tahun ke-52 Kemerdekaannya. Thean merupakan contoh yang baik untuk kita bersama-sama menyambut suasana Merdeka ini".

DICATAT SEBAGAI REKOD

Hobi Thean tidak lama lagi mungkin dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Ricky Yap, dari Jabatan Penyelidikan MBOR, berkata kebolehan Thean yang unik ini merupakan satu-satunya di negara ini dan beliau telah pun mengemukakan permohonan rasmi untuk mendaftarkannya sebagai satu rekod.

Walaupun belum dimasukkan lagi secara rasmi dalam MBOR, Yap berkata, kebolehan Thean menyanyikan lagu-lagu kebangsaan ini membuktikan semangat 'Malaysia Boleh'.

Tersentuh juga perasaan bila membandingkan kebolehan Thean menyanyikan lagu kebangsaan negara-negara asing ini dengan sesetengah rakyat yang tidak hafal sepenuhnya lagu kebangsaan mereka sendiri atau menyanyikannya tanpa menghayati bait-bait lagunya.

"Menyedari betapa berharganya lagu kebangsaan sesebuah negara itu membuatkan saya lebih menghayati lagu kebangsaan negara sendiri. Bila mendengar (dan menyanyikan) 'Negara Ku', semasa saya di UK dulu, rindu terhadap kampung halaman terubat juga dan sehingga hari ini saya tetap terusik bila mendengarnya". BERNAMA

Artikel Lain