"Merdeka", panggilan manja seorang datuk kepada anak Merdeka

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Tidak lama lagi, rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara ini daripada belenggu penjajahan.

Bagi pengurus dalam industri hiburan, Abdul Rahim Abdul Hamid, 'Hari Merdeka' ialah satu peristiwa yang cukup bermakna bagi beliau.

Tiga minit selepas tengah malam pada 30 Ogos 1957, Abdul Rahim dilahirkan, sebaik selepas bendera Union Jack diturunkan di Padang Kelab Selangor (kini Dataran Merdeka) di sini, sambil diiringi laungan 'MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!,

Anak kepada Abdul Hamid Latif dan Kamsiah Othman ini dilahirkan di hospital daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Anak bongsu daripada 10 beradik, Abdul Rahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Kuala Pilah sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Za'aba di pekan yang sama.

"Datuk sebelah ibu saya, Othman Suang gemar memanggil saya dengan panggilan manja 'Merdeka' ketika beliau berkunjung ke rumah kami di Kuala Pilah," kata Abdul Rahim di sini baru-baru ini.

BANGGA JADI RAKYAT MALAYSIA

"Saya bukan sahaja bangga menjadi anak Merdeka tapi juga berasa bangga kerana ayah saya (allahyarham) telah dapat menyelamatkan diri daripada Keretapi Maut dan tanpa beliau, saya mungkin tidak akan ada sekarang.

"...dan kalaulah beliau lama di situ dan berkahwin dengan gadis Burma, sudah tentu saya pun bukan jadi rakyat Malaysia," kata Abdul Rahim, berjenaka.

Menurut Abdul Rahim lagi, bapanya dilahirkan di Kampung Pelangai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada tahun 1916.

"Bapa memberitahu saya yang dia pernah bekerja sebagai pembantu luar di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Mersing dan kembali ke Bukit Tembusu di Kuala Pilah bila Jepun menyerang Malaya pada tahun 1941.

"Ketika itu umur beliau 25 tahun dan telah pun berkahwin dengan ibu saya. Ibu sedang mengandung anak kedua beliau".

BURUH PAKSA DI LANDASAN KERETAPI MAUT

Abdul Rahim berkata tentera Jepun memaksa bapanya bekerja di landasan kereta api yang begitu terkenal sebagai 'Keretapi maut' kerana telah menelan berpuluh ribu nyawa.

Laluan Keretapi Maut merupakan jalan kereta api sejauh 415 km dari Bangkok, Thailand ke Rangoon di Burma (sekarang Yangon di Myanmar), dibina oleh angkatan perang Jepun pada zaman Perang Dunia Kedua bagi operasi penaklukan Burma.

Jepun menggunakan ramai buruh paksa dalam pembinaan landasan itu. Seramai 180,000 buruh paksa termasuk mereka dari Malaya dan 60,000 tawanan perang digunakan.

Menurut laporan daripada Arkib semasa Perang Dunia Kedua, 90,000 buruh dan 16,000 tawanan perang mati ketika bekerja membuat landasan itu.

"Menurut bapa saya, beribu-ribu pemuda Melayu, Cina dan India telah dipaksa menaiki lori dan dibawa ke Padang Besar, Perlis pada tahun 1943. Mereka kemudian dibawa ke hutan berhampiran Banphong di Thailand," kata Abdul Rahim.

Abdul Hamid dan yang lain kemudian dibawa ke Kanchanaburi di mana beliau dipaksa bekerja sebagai tukang masak untuk buruh paksa dan tawanan perang.

KEMBALI KE SEREMBAN

Abdul Hamid bernasib baik bila Jepun membuat keputusan untuk menghantar balik mereka yang dianggap tidak berupaya bekerja.

"Ayah saya yang sakit teruk ketika itu dihantar balik ke Stesen Keretapi Seremban dengan dibekalkan lima ringgit duit Jepun serta lima gantang beras.

"Beliau kemudian dapat kembali ke Kampung Tembusu, Kuala Pilah. Ayah saya cuba mendapatkan rawatan bagi kaki kiri beliau yang teruk berkudis di hospital daerah. Tapi pihak Jepun mencampakkan beliau ke timbunan mayat pesakit hospital itu".

Abdul Hamid sekali lagi berjaya pulang ke rumahnya yang terletak sejauh dua kilometer dari hospital itu.

"Ayah kemudian bersembunyi dalam rumah dan tidak berani keluar sehinggalah Jepun menyerah kalah," kata Abdul Rahim.

ATENDAN HOSPITAL

Selepas tamat perang, Abdul Hamid bekerja sebagai atendan hospital di Hospital Daerah Kuala Pilah sebelum pencen pada tahun 1972. Beliau meninggal dunia pada 22 Nov 1994 pada usia 78 tahun.

Ibu Abdul Rahim, Kamsiah, meninggal dunia pada 1969 ketika berusia 42 tahun kerana kanser.

"Ayah pernah diberitahu yang kerajaan Jepun akan membayar pampasan untuk kesengsaraan yang beliau alami ketika menjadi buruh paksa di landasan Keretapi Maut.

"Tapi sehingga beliau menghembuskan nafas terakhir, dia tidak menerima apa-apa pampasan pun," kata Abdul Rahim.

Bagaimanapun, Abdul Rahim tetap bangga menjadi rakyat Malaysia dan anak Merdeka.

"Saya cintakan negara ini dan amat berbangga kerana dilahirkan sebagai anak Merdeka," katanya. BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan