Kenapa anda ingin jadi cikgu?

Diterbitkan: Jumaat, 15 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KENAPA ANDA JADI CIKGU? “KENAPA anda ingin jadi cikgu?” – ini merupakan soalan yang lazim ditanyakan semasa proses temu duga calon-calon yang bakal mengikuti pengajian di institut-institut perguruan sama ada bagi program Kursus Perguruan Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (KPLSPM), Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) dan sebagainya.

Biasanya jawapan standard yang akan diberikan ialah “ingin mendidik anak bangsa”, menyebarkan ilmu” dan “ingin membentuk generasi terbilang” walaupun mungkin realiti sebenarnya profesion keguruan menjadi pilihan terakhir mereka.

Apa pun majoriti guru – dan juga bakal guru – hari ini hakikatnya benar-benar komited dengan tugas mereka. Oleh sebab itu, mereka diraikan pada setiap 16 Mei saban tahun.

Tahun ini, bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa, Hari Guru disambut bagi mengenang dan menghargai jasa insan yang sering diumpamakan sebagai lilin ini.

Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada hari tersebut dalam tahun 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Tugas guru hari ini tidak lagi semudah dahulu. Mereka menghadapi pelbagai cabaran yang kompleks sesuai dengan kepesatan modenisasi hari ini. Sejajar dengan era dunia tanpa sempadan dan globalisasi, seorang guru tidak hanya berperanan mendidik anak murid agar celik 3M (membaca, menulis dan mengira) malah lebih dari itu.

Mereka dituntut melahirkan generasi terbilang yang memenuhi Falsafah Pendidikan Negara – ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Bagaimanapun situasi semasa memperlihatkan semacam wujud kelompangan dan kekurangan dalam pelaksanaan sistem pendidikan negara.

Media massa kerap melaporkan seribu satu kebejatan sosial yang melanda remaja hari ini. Buang bayi, bohsia, pengkid, seks bebas, buli, gaduh, ponteng dan menonton video lucah menggambarkan seriusnya keruntuhan moral mereka. Hal ini tidak termasuk isu dadah dan rempit yang seolah-olah tidak mempunyai titik noktahnya.

Di sisi lain, wujud pula kecenderungan mengejar kecemerlangan akademik yang berlebihan. Berlaku perlumbaan untuk meraih seberapa banyak A dalam peperiksaan seolah-olah hanya itu yang menjadi lambang kejayaan dalam sistem pendidikan negara. Tidak salah untuk cemerlang dalam akademik namun hanya itukah matlamat pendidikan kita?

Tujuan pendidikan dalam Islam, menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas (2001), adalah melahirkan manusia yang beradab. Adab melibatkan pengakuan tentang sesuatu secara benar dan tepat; perilaku yang baik untuk mendisiplinkan fikiran dan jiwa serta penonjolan tingkah laku yang benar dan tepat. Manusia beradab hanya mampu diciptakan dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan (hikmah) yang menghasilkan keadilan kepada diri, negara, masyarakat dan alam sekitar.

Dengan kata lain, objektif utama pendidikan dalam Islam ialah melahirkan insan yang sempurna (insan al-kamil), yang terdidik rohani dan jasmani, yang seimbang kehidupan spiritual dan materialnya. Insan tersebut harus mampu melaksanakan tanggungjawab selaku khalifah Allah di dunia dan pada masa yang sama menunaikan kewajipan sebagai hamba-Nya.

Justeru para guru harus tahu membezakan antara mengajar dan mendidik. Tidak sama antara mengajar anak beruk memetik buah kelapa dengan mendidik anak murid agar menjadi insan yang berguna. Mendidik bukan sekadar mewujudkan generasi yang celik inteleknya tetapi juga utuh rohani, emosi dan jasmaninya.

Hakikatnya tugas yang digalas oleh seorang guru adalah amat berat. Di bahu merekalah terpikulnya tanggungjawab untuk melahirkan generasi cemerlang yang seterusnya akan membentuk negara terbilang. Mungkin dalam kemeriahan sambutan Hari Guru ini, para guru boleh merenung sejenak dan bermuhasabah diri – “Kenapa anda ingin jadi cikgu?” Selamat Hari Guru.

(Penulis merupakan Tutor di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia).

iklan

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan