Mengubah Imej Kuala Lumpur Ke Arah Bandar Raya Berkelas Dunia

Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

b>DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertekad untuk merubah imej Kuala Lumpur menjadi bandar raya berkelas dunia dengan penduduknya dapat menikmati infrastruktur yang baik dan kualiti kehidupan yang setanding dengan bandar-bandar besar yang lain.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail berkata Kuala Lumpur yang sudah melalui proses transformasi ini akan menjadi hab kewangan dan komersil yang dinamik dengan seluruh bandar raya mengetengahkan identiti 'Malaysia Truly Asia'.

Pada masa yang sama ibu kota ini akan menyediakan suasana kehidupan yang baik dan komprehensif, menjadikannya tempat yang sempurna untuk bekerja, bermain dan berehat.

Daripada kira-kira 2.7 juta orang di Kuala Lumpur, hampir 50 peratus ialah penduduk tempatan yang bekerja di bandar raya ini, yang berulang alik atau yang singgah melawat.

Mungkin ada penduduk Kuala Lumpur yang terfikir sama ada imej baru Kuala Lumpur ini hanya merupakan satu lagi angan-angan perancang bandar yang jauh daripada realiti keadaan di bandar raya dengan pelbagai masalah yang dihadapi penduduknya.

Bagi Ahmad Fuad, beliau yakin bahawa usaha merubah keadaan di Kuala Lumpur bukanlah mustahil. Beliau percaya visi bagi bandar raya ini boleh dicapai dengan merealisasikan matlamat yang dirangka.

Perubahan itu juga katanya termasuk memperketat lagi penguatkuasaan undang-undang sebagai garis panduan serta dasar untuk dipatuhi semua pihak termasuk para pegawainya.

Ahmad Fuad yang memegang jawatan Datuk Bandar sejak 14 Dis 2008 berkata Kuala Lumpur yang berkelas dunia akan memastikan tiada lagi rumah haram didirikan ataupun parkir haram dan di sinilah penguatkuasaan diperketat lagi.

HIJAUKAN BANDAR RAYA

"Cukuplah setakat ini, perlu ada perubahan...kita rasakan tak berlaku adil terhadap mereka yang mengikut undang-undang, mereka yang tak ikut undang-undang akan dikenakan tindakan yang sewajarnya bagi membentuk budaya berhemah dan berdisplin", katanya.

Beliau turut berazam untuk mentadbir dengan baik dengan mengambil kira setiap pandangan, masalah serta aduan rakyat selari dengan matlamat kerajaan mengutamakan rakyat dahulu.

Katanya agenda untuk menghijaukan bandar raya juga akan dilaksanakan dengan penanaman lebih banyak pokok, mendalamkan Sungai Gombak dengan landskap yang menarik dan meneliti untuk membina dua kawasan takungan baru bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku jika hujan lebat.

Mengenai masalah kesesakan lalu lintas, beliau berkata DBKL sedang mengkaji kemungkinan untuk memperkenal konsep "Park & Ride" bagi mengurangkan masalah itu di Lembah Klang.

KONSEP PARK & RIDE

Ahmad Fuad berkata sistem itu yang terbukti berkesan di beberapa negara lain, sedang dikaji untuk dilaksanakan oleh DBKL.

"Park & Ride adalah konsep yang menghendaki orang ramai meletakkan kenderaan mereka di mana-mana stesen Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang berdekatan dan kemudian mereka menggunakan LRT untuk ke destinasi masing-masing.

"Setiap hari, hampir satu juta kenderaan memasuki ibu negara dan kesesakan lalu lintas pasti akan berlaku tidak kira pada waktu puncak atau pun tidak. Jadi sudah tiba masanya langkah seperti ini diperkenal," katanya.

Ahmad Fuad bagaimanapun menyedari masalah orang ramai yang menggunakan sistem pengangkutan awam seperti LRT untuk ke tempat kerja mereka.

"Kelemahan ini boleh diatasi seperti dengan menambah bilangan koc baru serta memperluas jaringan hubungan ke beberapa lagi kawasan tumpuan orang ramai," katanya.

CCTV PANTAU KESESAKAN

Beliau menjelaskan bahawa DBKL juga menggunakan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kesesakan lalu lintas yang berlaku, menerusi Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (Itis) di Bukit Jalil yang akan memberi maklumat kepada pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan mereka pada waktu puncak atau musim perayaan.

Katanya sehingga kini DBKL memasang 1,100 buah CCTV di bawah sistem Itis dan 66 buah daripadanya digunakan untuk memantau kesesakan lalu lintas di sekitar ibu negara.

"DBKL turut merancang menambah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bawah kawalan polis di kawasan yang dikenal pasti sibuk, pusat beli-belah dan tempat tumpuan pelancong daripada 85 kepada 96 buah," katanya.

Beliau berkata kini ada 49 lokasi di bandar raya ini yang dipasang dengan CCTV di bawah kawalan polis termasuk di kawasan Brickfields dan Cheras serta 66 lagi bagi kawalan trafik dan 1,100 dimiliki Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (Itis).

"Pemantauan DBKL mendapati pemasangan CCTV memberikan manfaat dalam usaha mengurangkan kes jenayah terutama kes ragut di kawasan mempunyai rekod jenayah yang tinggi.

KURANGKAN KADAR JENAYAH

Ahmad Fuad berkata DBKL sentiasa mengadakan perbincangan dengan polis dalam merancang beberapa alternatif lain untuk mengurangkan kadar jenayah yang dilaporkan.

"Kami sentiasa memikirkan cara lain untuk mengurangkan kes jenayah, kerana jenayah memberikan imej tidak baik mengenai negara di mata pelancong," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad dan seluruh warga DBKL menyambut baik pelantikan Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baru.

"Kami menyambut baik pelantikan itu dan berharap beliau (Raja Nong) dapat meneruskan agenda yang telah dirangka sebelum ini serta membawa pembaharuan yang diharapkan warga kota."

Beliau berharap dengan adanya teraju baru di Kementerian Wilayah Persekutuan itu masalah utama yang telah lama membelenggu masyarakat iaitu pembuangan sampah serta sisa pepejal dapat diselesaikan.

BANDAR RAYA BERKELAS DUNIA

"Setiap tahun DBKL membelanjakan RM140 juta untuk membolehkan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) memungut dan membuang sampah serta sisa pepejal ke 252 tapak pelupusan sampah yang berlesen", katanya.

Kebanyakan penjaja membuang sisa buangan ke dalam longkang dan menyebabkan ia tersumbat serta ada juga yang menutup longkang untuk mendapatkan ruang yang lebih luas, kata Ahmad Fuad.

Beliau turut menarik perhatian bahawa terdapat 5,300 kilometer longkang di Kuala Lumpur dan Alam Flora sudah memulakan kerja bagi membersihkan longkang berkenaan sejak sebulan lepas dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kerjasama orang ramai juga diperlukan bagi mengatasi masalah ini dengan menjelaskan bayaran bulanan antara RM80 dan RM120 bagi memungut sampah dan RM380 setiap lori bagi sisa pepejal kepada Alam Flora di kawasan terlibat.

"Ada di antara mereka yang tidak mahu menjelaskan bayaran bulanan itu dan memilih untuk membuang sampah merata-rata, perbuatan ini harus dikikis jika hendak melestarikan hasrat bandar raya berkelas dunia," katanya.

Selain itu, DBKL juga membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi menambah baik kemudahan jalan di sekitar ibu negara, menyediakan laluan pejalan kaki yang lebih selesa serta infrastruktur 'mesra' Orang Kurang Upaya (OKU) yang masih belum memuaskan. -BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan