Kehidupan masyarakat orang Asli di ambang Melaka maju 2010

Diterbitkan: Isnin, 2 Mac 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KETIKA fajar mula menyinsing, Tok Batin Garus Badak dan beberapa orang anak buahnya, telah berada di kebun getah di lereng bukit Batang Melaka, dalam daerah Jasin, untuk menoreh iaitu pekerjaan rutin mereka jika hari tidak hujan.

Sebelum tengah hari, Garus, 78, dan anak buahnya akan pulang ke perkampungan Orang Asli Air Sialang iaitu tempat tinggal mereka yang terletak berdekatan dengan kebuh getah yang mereka usahakan.

Sebaik pulang, ada yang mencapai motosikal terus ke Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan sekolah rendah di pekan Batang Melaka untuk menjemput pulang anak mereka yang bersekolah.

Pada sebelah petang, Garus dan anak buahnya, memasuki kawasan berbukit berdekatan bagi mencari hasil hutan seperti damar, rotan dan tumbuhan herba. Mereka akan pulang ke rumah ketika hari hampir senja membawa bersama hasil buruan untuk dimasak sebagai hidangan makan malam bersama keluarga.

Sementara itu, seawal jam 6 pagi, beberapa anak buahnya yang lain pula bermotosikal atau berkereta untuk bekerja di bandar sama ada sebagai kakitangan kerajaan atau pekerja swasta.

Mereka lebih suka tinggal di perkampungan itu dan sanggup berulang-alik setiap hari walau pun jarak perjalanan sehala melebih 50 km bagi mereka yang bekerja di Bandaraya Melaka.

"Di sini saya tinggal di sebuah rumah yang selesa, di perkampungan yang dilengkapi prasarana yang cukup seperti kampung lain di Melaka dan saya tidak ada masalah untuk berulang alik ke pejabat di bandaraya Melaka", kata Petrus a/l Bah Kasim, 44, kakitangan Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) yang berulan-alik dengan kereta Proton Wira.

Lebah Sialang

Perkampungan Orang Asli Air Sialang, nama yang diambil bersempena lebah Sialang yang banyak bersarang di pokok Sepetir (Sindora irpicina) di perkampungan itu.

Apabila menyebut perihal kehidupan Orang Asli sudah tentu kita akan membayangkan kehidupan yang serba kekurangan di mana mereka masih dibelenggu kemiskinan, tidak mempunyai bekalan air bersih dan elektrik serta kurang terdedah kepada dunia luar.

Namun realitinya sekarang ini, perkampungan ini telah dihubungkan dengan jalan tar sepanjang 3 km dari jalan raya pekan Batang Melaka dan apabila melihatkan keadaan fizikal rumah yang dilengkapi dengan kemudahan asas, tiada siapa yang menyangka bahawa perkampungan ini adalah perkampungan Orang Asli.

Jika dahulu masyarakat Orang Asli di Melaka daripada suku Temuan ini mendiami pondok yang bertiangkan kayu, berdinding dan berlantaikan buluh serta atap dari daun pokok langkap (tumbuhan palma), namun sekarang mereka lebih bersedia menerima perubahan seiring dengan pembangunan negara khususnya Wawasan Melaka Maju 2010.

Ini terbukti apabila terdapat 28 keluarga dengan 130 orang penduduk di perkampungan ini mendiami rumah batu yang dilengkapi ruang tamu, dua bilik tidur, dapur, bilik air dan tandas, yang disediakan kerajaan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). Kediaman mereka juga dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik.

Setiap rumah mempunyai sebuah televisyen dan kebanyakan penduduknya mempunyai telefon bimbit sebagai alat perhubungan. Bagi penduduk yang mempunyai lebih pendapatan, rumah PPRT itu telah dibesarkan dan dicat dengan cantik dan di tanam pokok bunga bagi menghiasi halaman rumah manakala di persekitaran perkampungan itu ditanam dengan pokok buah-buahan seperti durian, cempedak, nangka, rambutan, ciku, pisang, petai dan pelbagai pokok herba.

"Kami dah moden sekarang, handphone pun dah ada, dalam hutan atas bukit sana pun penuh (signal)", kata Tok Jekerah, Bakar Pikat, 50 tahun.

Dulu hidup pindah-randah

Garus, berkata sebelum menetap di perkampungan itu, nenek moyangnya hidup berpindah-randah dari satu perkampungan ke perkampungan baru apabila terdapatnya kematian. "Itu kepercayaan terdahulu tetapi kami sekarang menetap dan kekal di sini. Anak-anak sekarang (generasi sekarang) tidak mungkin merasai bagaimana kami tinggal di rumah yang dibuat dari kayu bulat, dinding buluh, lantai buluh dan atap daun pokok langkap", katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkampungan itu baru-baru ini.

Di sebelah rumahnya, Garus masih mengekalkan sebuah pondok bertiangkan kayu, berdinding buluh, berlantai kayu dan beratap daun pokok langkap sebagai tempat isterinya memasak (dapur).

Beliau berkata menoreh getah adalah sumber pendapatan utama penduduk kerana mereka tidak boleh lagi mengharapkan sumber hutan yang semakin berkurangan akibat pembukaan ladang dan pembangunan lain.

"Masa harga getah sekerap naik RM4, RM5 (sekilogram) dulu senanglah sikit, sekarang dah turun RM1.60 (sekilogram), apa nak buat. Kita harap harga naik semula", katanya.

Sambil menjelaskan bagaimana sumpit dibuat dan cara menggunakannya, Garus berkata memburu adalah amalan tradisi masyarakatnya tetapi sudah ramai anak muda tidak berminat jika ada pun sekadar sukasuka bagi mengisi masa lapang.

"Kalau ada majlis perkahwinan, kami ramai-ramai masuk hutan memburu dan hasil buruan itu dimasak dan dihidangkan kepada tetamu. Cara ini lebih baik daripada menghidangkan lauk daging lembu kerana harga lembu mahal", katanya.

Sambil menunjukkan pelbagai pokok herba yang ditanam di sekitar perkampungan berkenaan dan khasiat penggunaannya, Garus berkata mereka mencari tumbuhan herba berdasarkan permintaan dan sesetengah tumbuhan itu agak sukar diperoleh.

Pentingkan pendidikan

Dalam bidang pendidikan, Garus berkata pendidikan adalah penting kerana ia mampu memberi kehidupan yang lebih baik kepada masyarakatnya pada masa depan.

"Saya sering tekankan kepada ibu bapa, beri anak-anak pendidikan, kerajaan sudah sediakan Tabika, sekolah rendah, sekolah menengah hingga universiti, kita hantar saja lah (anakanak)", katanya.

Katanya, setakat ini terdapat seorang belajar di Tabika, 16 orang di sekolah rendah, lima orang di sekolah menengah dan dua orang di institusi pengajian tinggi awam.

Masyarakat di sini tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan perubatan kerana terdapat klinik kesihatan berdekatan dan pihak Jabatan Kesihatan membuat lawatan ke perkampungan itu.

"Dalam hubungan dengan masyarakat lain, kita tidak ada masalah kerana kami juga terlibat sebagai anggota Pasukan Bomba Sukarela Batang Melaka dan Rukun Tetangga", katanya.

Tinjauan mendapati kemudahan prasarana dan kehidupan masyarakat di Perkampungan Orang Asli Air Sialang adalah hampir sama dengan 13 lagi perkampungan Orang Asli yang terdapat di Melaka.

Puashati dengan bantuan kerajaan

Ketika wartawan Bernama berkunjung ke perkampungan Orang Asli Bukit Putus, Tebong dalam daerah Alor Gajah, Tok Batin Apen a/l Siang Sen, 58, turut melahirkan rasa puas hati kepada kerajaan negeri Melaka dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) kerana menyediakan rumah batu yang selesa dengan prasarana mencukupi kepada 30 orang penduduknya.

Beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya apabila Rancangan Tanaman Semula Getah dilaksanakan, pokok karas atau lebih dikenali gaharu boleh ditanam serentak bersama pokok getah.

"Penanaman pokok karas di tengah-tengah lorong kosong antara pokok getah boleh dilakukan. Kawasan kebun getah di lereng bukit sangat sesuai untuk tanaman pokok karas. Pokok karas boleh mengeluarkan resin untuk produk minyak wangi yang bernilai tinggi", katanya yang berpengalaman sejak kecil mencari hasil hutan termasuk gaharu.

Beliau berkata selain tanaman pokok karas, tanaman kontan seperti pisang, nanas dan serai boleh diusahakan bagi menambahkan pendapatan masyarakat Orang Asli. Kumpulan Kugiran Orang Asli

Masyarakat di perkampungan ini telah menerima sepenuhnya arus pemodenan, ini jelas kelihatan dengan penubuhan Kumpulan Kugiran Orang Asli Sing Loi pada April 2007 dengan peralatan muzik disumbangkan oleh kerajaan negeri Melaka.

"Selepas pulang daripada menoreh getah, jika dahulu kami mencari hasil hutan dan berburu tetapi sekarang kami tidak lagi berbuat demikian sebaliknya kami mengisi masa lapang dengan berlatih kugiran," katanya pengurus kumpulan kugiran itu, Asing Apen, 39.

Kugiran Orang Asli ini mendapat sambutan menggalakkan termasuk diundang membuat persembahan di majlis perkahwinan, majlis perayaan dan majlis anjuran kerajaan.

Asen dan anaknya, Asing turut aktif dalam bidang politik dan kemasyarakatan termasuk menjadi Anggota Jawatankuasa Umno cawangan Kuala Sungga, Anggota Panel Klinik Kesihatan Machap Baru dan Anggota Panel Balai Polis Tebong.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) daerah Jasin dan Alor Gajah, Suzila Baki berkata sehingga 31 Jan lepas, terdapat 1,597 Orang Asli di negeri ini yang mendiami 14 perkampungan yang telah 100 peratus dilengkapi dengan prasarana seperti jalan tar, bekalan elektrik dan air, balai raya serta Tabika.

Beliau berkata tidak ada keciciran di kalangan anak Orang Asli di negeri ini dalam mendapatkan pendidikan di mana kini 76 orang belajar di Tabika, sekolah rendah (219), sekolah menengah (73) dan institusi pengajian tinggi (11).

Di samping bantuan persekolahan, biasiswa juga disediakan untuk pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, katanya.

Beliau berkata masyarakat Orang Asli kini telah ramai melibatkan diri dalam sektor awam dan swasta.

Projek tanaman getah di kawasan tanah rezab Orang Asli turut dimajukan untuk diusahakan oleh masyarakat ini iaitu di Bukit Sebang (3 hektar), Kubang Badak (5 hektar), Hutan Perca (8 hektar) dan Bukit Payong (39 hektar). BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan