GUN 2009 lebih besar, lebih mantap

Diterbitkan: Jumaat, 13 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GERAK Usahawan Nasional (GUN), program tahunan anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) pada 6 Feb lepas menampilkan penyertaan lebih besar tahun ini, dan tempoh program turut dipanjangkan daripada dua kepada tiga hari.

Kira-kira 50,000 orang mengunjungi GUN 2009 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan MeCD mensasarkan kontrak bernilai RM6 juta dimeterai berbanding RM4.1 juta pada tahun lepas.

Program yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra itu menarik 450 peserta berbanding 382 tahun lepas dan ia diadakan bertujuan menyebarkan maklumat dan mempamer semua perkhidmatan yang disediakan kerajaan khususnya melalui MeCD dan agensi-agensi di bawahnya kepada usahawan dan bakal usahawan.

Secara tidak langsung program dengan pendekatan 'turun padang' pelbagai jabatan dan agensi kerajaan ini menjadi pusat sehenti kepada usahawan dan pemudah cara perniagaan.

Penyertaan semua pihak

Ketua Setiausaha MeCD, Datuk Musa Muhamad dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini, berkata selain memupuk minat orang ramai untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan, program ini membawa usahawan pemasaran dan syarikat pedagang dari dalam dan luar negara untuk membantu usahawan IKS tempatan dalam memasarkan produk mereka di dalam dan luar negara.

GUN 2009 juga menampilkan kekuatan yang jarang diperlihat sebelum ini iaitu penyertaan kesemua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dalam bidang keusahawanan, yang tentunya akan menonjolkan kelebihan perkongsian bestari dalam usaha niaga dan keusahawanan.

Dua teras utama GUN 2009

"Pada asasnya GUN 2009 menggariskan dua teras iaitu bantuan dan sokongan; dan peluang perniagaan", kata Musa.

Antara bentuk bantuan dan sokongan yang ditawarkan adalah dari segi pengetahuan serta latihan, bantuan dalam meningkatkan kualiti produk (melalui program Groom Big), sokongan pemasaran dan promosi, pengukuhan jaringan perniagaan, pembiayaan, bantuan mendapatkan premis serta pembudayaan perniagaan.

"Peluang perniagaan pula antaranya meliputi sektor francais, teknopreneur (teknologi tinggi dan ICT), peruncitan, perusahaan perabot, perladangan kontrak dan pengilangan kontrak.

"Banyak peluang perniagaan boleh diteroka melalui program usahawan pemasaran serta inisiatif francais seperti Malaysia Kitchen dan Forest'Secret", jelas beliau.

Jaringan dan rantaian usahawan

Seiring dengan GUN 2009, MeCD juga menganjurkan Simposium Usahawan Muda Asean dengan kerjasama Dewan Perniagaan Muda Selangor.

"Melalui simposium ini 150 usahawan muda di seluruh Asean dikumpulkan bagi membina jaringan di kalangan mereka, pada masa yang sama membincangkan isu-isu keusahawanan", kata Musa.

MeCD juga menjemput seramai 70 usahawan Malaysia di luar negara, antaranya dari ManMa Sdn Bhd (Ireland), MOFAZ Dagang (United Kingdom), Asia Platform (Kemboja) dan Gartside Trading Sdn Bhd (Dubai, UAE), yang masing-masing membawa pembeli berpotensi untuk diperkenal kepada usahawan tempatan.

Melalui perjumpaan seperti ini produk tempatan, yang mempunyai potensi tinggi untuk pasaran luar negara, akan dikenal pasti. Pada masa yang sama usahawan sedia ada boleh mendapatkan rantaian usahawan baru sebagai agen, stokis dan pengilang kontrak.

Seiring dengan fokus GUN 2009 ke arah bagaimana para usahawan dapat memanfaatkan dan memantapkan rantaian perniagaan, seterusnya mengembangkan rantaian tersebut menerusi pelbagai mekanisme, ruang atau sektor, Musa menyeru para usahawan merebut peluang yang ditawarkan.

Bantuan untuk usahawan baharu

Menurut Musa lagi, "MeCD membantu para usahawan di peringkat permulaan dengan memberi pinjaman melalui agensi pembiaya seperti Mara dan Tekun, dengan kadar faedah yang amat berpatutan iaitu serendah 4 peratus. Bagi sewaan premis, kami berikan diskaun sebanyak 50 peratus", katanya.

"Seterusnya, MeCD juga memberi sokongan dalam meningkatkan kualiti produk dengan menjalankan penyelidikan terhadap produk yang berpotensi dengan bantuan Sirim. Kementerian juga akan membantu dari segi pembungkusan dan pelabelan produk usahawan baru", katanya.

Menurut Musa, bantuan yang disalurkan mempunyai had masa iaitu pada peringkat permulaan perniagaan dan apabila ia mencapai titik pulang modal, penerima tidak lagi layak mendapat bantuan kerana dianggap sudah boleh membina tapak sendiri.

Menarik penyertaan siswazah

Mengenai penyertaan siswazah dalam acara kali ini, Musa berkata, MeCD ingin memberikan lebih pendedahan dan menarik perhatian siswazah kepada dunia keusahawanan khususnya dalam bidang francais.

"Bidang francais tidak boleh dianggap (perniagaan) biasa... kita memerlukan usahawan yang berilmu dan berpengetahuan serta berkemahiran dalam bidang tertentu untuk menguruskannya kerana bidang ini melibatkan undang-undang serta peraturan.

"Usahawan yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi biasanya tidak dapat menjayakan perniagaan francais yang khusus ini", kata Musa. MeCD juga ingin menumpukan kepada bidang seperti bioteknologi, aeroangkasa, ICT dan logistik, kerana bidang-bidang ini jarang dipelopori oleh usahawan sedia ada.

"Sejajar dengan kepesatan perhubungan dunia tanpa sempadan sekarang, kita mahu perniagaan yang bakal dijalankan oleh siswazah ini bersifat global dan menggunakan kaedah moden seperti penggunaan internet menerusi laman web", kata Musa.

Bagi menarik minat golongan siswazah, MeCD telah mengadakan program Gerak Usahawan khusus di peringkat institut pengajian tinggi. Dalam program itu MeCD memberi ilmu dan latihan serta peluang memohon pinjaman perniagaan.

"Kami mengambil pendekatan secara pakej iaitu dengan melihat pencapaian siswazah terbabit dari segi fizikal di samping keupayaannya dalam mengamalkan ilmu yang telah dipelajari", katanya.

Mengawal aliran keluar ringgit

Menurut Musa, GUN 2009, sesuai dengan temanya 'Platform Ketahanan dan Kestabilan Ekonomi', menggalakkan rakyat Malaysia membeli barangan buatan tempatan untuk mengelakkan pengaliran wang ke luar negara.

"Ini berkait rapat dengan situasi ekonomi sekarang", katanya sambil menambah bahawa Malaysia perlu mengubah keadaan ekonomi negara dengan menambah nilai kepada setiap produk yang dihasilkan.

"GUN 2009 juga berperanan sebagai tempat para usahawan bergabung untuk memperkukuh perniagaan bagi menstabilkan ekonomi domestik. Dalam hal ini kita patut mencontohi usahawan Korea, yang dapat bertahan dalam keadaan ekonomi dunia yang merudum.

"Usahawan kecil mereka bergabung dalam menjalankan perniagaan. Dengan bergabung dan bekerjasama, kita akan mempunyai ketahanan yang tinggi - tak kira usahawan lelaki mahupun wanita", katanya.

Dan GUN 2009 diharap dapat melahirkan ramai usahawan yang dapat meneroka bidang baru yang boleh didedahkan di peringkat global. BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan