Pendapatan lumayan dari susu segar

Diterbitkan: Rabu, 11 Februari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

WALAUPUN dengan hanya mempunyai pendidikan setakat darjah enam di sekolah rendah, Sukeri Mamat berusaha membebaskan kehidupannya daripada belenggu kemiskinan.

Bekas pekerja kilang itu telah menceburkan diri dalam industri penternakan lembu susu dan selepas 19 tahun berlalu, Sukeri kini bersyukur dengan pendapatan yang mencecah RM3,500 sebulan dari hasil titik peluhnya memelihara lembu susu.

Beliau yang kini bergelar usahawan susu cair memulakan kerjayanya menternak lembu susu pada 1990 dengan modal RM30,000.

"Pada waktu itu saya hanya mempunyai 19 ekor lembu induk sahaja kerana ianya merupakan peringkat permulaan dan saya pun takut juga pada waktu itu bimbang menempuhi kegagalan.

"Tetapi hasil galakan dan tunjuk ajar dalam bidang ternakan lembu susu serta penyediaan pemasaran untuk susu cair yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan, kini saya boleh berbangga dengan pencapaian saya", beliau memberitahu Bernama di ladang ternak lembu susu Sungai Durian 17 km dari sini baru-baru ini.

Kini Sukeri, 34, mempunyai 55 ekor lembu induk yang boleh mengeluarkan susu.

Jalan berturap tar

Menurut Sukeri, JPV menyediakan ladang itu bagi membolehkan peserta menjalankan penternakan lembu tenusu di kampung berkenaan.

Lembu susu kepunyaan beliau akan diperah dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang dengan menggunakan mesin pemerah mudah alih untuk perahan yang bersih.

"Anggaran pendapatan sebulan hasil jualan susu pula sebanyak RM3,500. Ia mencukupi bagi menyara isteri dan dua orang anak", kata beliau.

Beliau merupakan antara lima peserta dalam projek JPV di ladang tenusu tersebut yang membabitkan kawasan seluas lebih 50 hektar (270 ekar).

Terletak dipinggir Bukit Seligi dan bersempadan dengan Jajahan Machang, ladang tersebut dikenalpasti sebagai satu daripada kawasan yang paling sesuai bagi penternakan itu.

Dari kawasan terbiar yang dipenuhi dengan hutan yang hidup meliar kini ladang berkenaan dilengkapi dengan pelbagai bentuk kemudahan asas termasuk jalan yang berturap tar dan bangunan pejabat operasi, selepas dibuka pada tahun 1990.

Lima peserta yang mengusahakan ladang berkenaan secara berkelompok dengan 144 ekor lembu sehingga ini mampu mengeluarkan susu segar sebanyak 354,000 liter bernilai RM531,000 setahun.

Selain Sukeri, empat lagi peserta yang juga penduduk tempatan ialah Ismail Zakaria, Ibrahim Abdul Ghani, Azman Che Mat dan Shahrul Bakri Abdullah.

Modal permulaan

Ibrahim Abdul Ghani, 59, pula berkata beliau memulakan kerja itu pada tahun 1993 dengan mengeluarkan modal permulaan sebanyak RM20,000 dari hasil wang simpanan untuk membeli 11 ekor lembu.

"Sehingga ini saya memiliki sebanyak 27 ekor lembu dan pendapatan saya hasil jual susu pula kira-kira RM2,000 sebulan", kata beliau.

Pengarah JPV Kelantan, Datuk Dr Mohd Zairi Serlan berkata, jabatannya menyediakan kawasan padang ragut yang ditanam dengan rumput humidicola (Brachiariahumidicola) dan rumput napier (penissetum purpureum) yang dikenali juga sebagai rumput gajah untuk dimakan dalam kandang ternakan bagi memastikan lembu itu sentiasa sihat dan produktif.

"Selain meragut dan memakan rumput lembu-lembu berkenaan juga diberi makan dedak formulasi untuk mengekalkan prestasi pengeluaran susu", katanya.

Pengendalian susu dari ladang berkenaan diusahakan oleh Pusat Perkhidmatan Industri Tenusu (PPIT), Pasir Puteh yang hasil perahannya dikumpulkan setiap hari ke dalam tangki pendingin berkapasiti 300 liter.

Ujian makmal

Susu berkenaan diproses menerusi pelbagai ujian makmal untuk memastikan kualiti yang tinggi sebelum dilulus untuk dijadikan susu segar dipasteur atau berperisa dan dijadikan dadih.

Harga susu itu dibayar pada setiap awal bulan oleh PPIT pada kadar RM1.50 sen seliter yang dikreditkan ke akaun setiap penternak.

Beliau berkata, peserta berkenaan telah menunjukkan daya maju yang tinggi di kalangan penternak tenusu bersaiz kecil dan separa komersial.

"Pengurusan yang baik telah mendorong jabatan saya untuk menyokong supaya ia dinaiktaraf memandangkan potensi industri itu amat baik pada masa depan, ini termasuk kemudahan asas dan memperbaiki tahap biosekuriti bagi mengelak kejadian penyakit pada ternakan.

Menurut laporan berita, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, negara mensasarkan pengeluaran 1.1 bilion liter susu cair setahun dalam usaha memenuhi keperluan susu domestik serta mengembangkan perusahan tenusu tempatan.

Beliau berkata, perusahaan tenusu mempunyai potensi yang tinggi kerana tahap pengeluaran dalam negara masih rendah iaitu pada 51 juta liter setahun atau pada kadar 4.6 peratus sahaja daripada keperluan. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan