Islam beri keistimewaan pada ekonomi

Diterbitkan: Isnin, 19 Januari 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RANGKA sosial agama Islam memberikan tempat yang istimewa terhadap dimensi ekonomi, menurut Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Nik Mustapha Nik Hassan.

"Islam percaya bahawa kestabilan keseluruhannya bergantung kepada kesejahteraan kebendaan dan kerohanian seseorang itu. Islam menganggap keduadua aspek itu berpadu sebagai satu bentuk integrasi di dalam setiap tindakan dan keperluan manusia dan ini bertentangan dengan konsep dominasi kebendaan di dalam sistem sekular," kata Nik Mustapha dalam artikelnya.

Nik Mustapha berkata keraguan terhadap keduadua aspek dalam kehidupan manusia menyebabkan orang Islam menjauhi daripada 'asceticism' iaitu tidak mementingkan hal keduniaan dan yang juga bermaksud penafian diri, merasa malu dan sebagainya.

Umat Islam dituntut supaya aktif, kreatif dan produktif dalam mengejar kemakmuran ekonomi, malah ada hubung kait yang positif di antara sifat kewarakan dan produktiviti di dalam Islam, katanya.

Penghapusan kemiskinan tegar

Nik Mustapha berkata dari awal lagi Islam telah menyatakan bahawa perkara yang paling asas dalam prinsip kedudukan sosial di dalam agama adalah keadilan ekonomi.

Keadilan ekonomi bermakna pencapaian beberapa objektif termasuk penghapusan kemiskinan tegar yang merupakan satu matlamat utama.

"Setiap individu hendaklah melibatkan diri untuk mencari keadilan ekonomi dan menyumbang bagi keperluan beliau serta juga keperluan tanggungan beliau.

Kata Nik Mustapha, peluang ekonomi perlulah tersedia untuk disertai semua individu dan sekiranya seseorang itu diperlukan mempunyai daya kreatif dan imaginasi, masyarakat keseluruhannya harus memberi sokongan.

Sementara itu, keadilan ekonomi menganggap kekayaan seseorang adalah miliknya, yang harus diletak ke dalam pusingan, untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi.

Membina lebih banyak peluang serta aktiviti ekonomi adalah selari dengan kehendak keadilan sosial kerana ini memberi peluang kepada individu untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Menurut Nik Mustapha lagi, keadilan ekonomi juga bererti merujuk kepada potensi ekonomi yang dioptimumkan sebaik mungkin pada bilabila masa.

Bila keperluan ekonomi seseorang telah tercapai dan diperbaik, personaliti beliau akan bertukar menjadi lebih kreatif, bijaksana serta bermoral.

Bebas buat pilihan

Kata Nik Mustapha, kebebasan untuk membuat pilihan dalam melibatkan diri dengan pencapaian ekonomi yang berpandukan prinsip-prinsip agama merupakan prasyarat bagi keadilan ekonomi.

Beliau berkata kerajaan menyediakan garis panduan secara umum dan membataskan amalan yang tidak sihat untuk membolehkan ekonomi berkembang bebas dan bertindak balas terhadap keperluan masyarakat.

Al-Quran juga memberi fokus yang tinggi terhadap aspek kehidupan ekonomi dan kebendaan.

"Konsep kekayaan dinyatakan secara positif dan antaranya ialah 'khayr' (yang baik), fadl Allah (kurniaan Allah) dan rezeki.

"Oleh itu umat Islam yang terlibat dalam pengeluaran dan penjanaan kekayaan juga boleh dianggap sebagai mengerjakan ibadah kepada Allah," kata Nik Mustapha.

Kerjasama ekonomi

Menurutnya, sistem ekonomi Islam perlu mengusahakan keadilan ekonomi dan membina suasana bagi kerjasama ekonomi yang diwujudkan antara individu. Dengan tidak mengasingkan kewujudan sekular dan kesucian, Islam meletakkan seluruh usaha manusia dan aktiviti mereka di bawah penelitian kerohanian dan rasional.

Katanya pembentukan rohani dan moral dalam individu serta aktiviti ekonomi yang kolektif akan menggalakkan keadilan dan kerjasama ekonomi.

Hasilnya, aktiviti ekonomi boleh menyumbang terhadap kecekapan, produktiviti, pertumbuhan dan kestabilan negara, jelas Nik Mustapha. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan