suria

RM18 Juta Untuk Pelajar Politeknik Terima Baucar Buku

GEORGE TOWN: Kerajaan memperuntukkan lebih RM18 juta untuk Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada kira-kira 90,000 penuntut politeknik di seluruh negara bagi meringankan beban perbelanjaan pembelian buku di kalangan pelajar.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Dan Penilaian Kurikulum, Jabatan Pengajian Politeknik, Mohd Ghaus Abdul Kadir berkata, BB1M mula diedarkan di 30 politeknik seluruh negara mulai semalam.

Katanya, baucar buku berjumlah RM200 setiap seorang itu diagihkan kepada semua pelajar bermula semester satu hingga akhir, meliputi program peringkat sijil, diploma, latihan industri dan kursus secara sambilan (KSS).

"Kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak untuk membantu pelajar-pelajar dan usaha itu juga adalah bagi meringankan beban ibu bapa mereka," katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan elaun wang saku kepada pelajar Kolej Komuniti Bayan Baru (KKBB), di sini, Rabu.

Majlis itu dirasmikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong Muhammad Farid Saad dan turut hadir Pengarah KKBB Sharizan Shahidan.

Mohd Ghous berkata, pihak politeknik juga berharap pelajar menggunakan baucar itu untuk tujuan yang sepatutnya iaitu pembelian buku-buku ilmiah bagi pengajian mereka.

Katanya, penuntut seharusnya belajar dengan bersungguh-sungguh dan mencapai kecemerlangan kerana mereka merupakan kumpulan pelajar yang bertuah dan tidak dilupakan dalam merealisasikan matlamat pendidikan negara.

"Kerajaan memandang golongan ini adalah sebahagian daripada kumpulan yang perlu digerakkan serta diberi tumpuan kerana golongan ini bakal menentukan hala tuju dan masa depan negara," katanya.

Artikel Lain