suria

UMT & UNPAD Jalin Kerjasama Pendidikan & Penyelidikan

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universitas Padjajaran Indonesia (Unpad) akan menjalin kerjasama lebih erat dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Naib Cancelor UMT, Datuk Dr Aziz Deraman berkata, Unpad adalah universiti kedua dari Indonesia menjalin kerjasama dengan UMT selepas Univesitas Airlangga (Unair) Surabaya.

"Mudah-mudahan kerjasama ini menjadi suatu yang bermakna kepada kita semua," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (Mou) antara UMT dan Unpad, di sini hari ini.

UMT diwakili Aziz manakala Unpad diwakili rektornya Prof Dr Ir Ganjar Kurnia.

Aziz berkata, melalui persefahaman itu kedua-dua universiti bersetuju mengadakan kerjasama khususnya dalam bidang berkaitan dengan pertanian dan perikanan.

Beliau berkata, di bawah kerjasama itu, pertukaran penuntut juga akan diadakan di antara kedua-dua universiti berkenaan.

Sementara itu, Ganjar berkata beliau berharap kerjasama itu akan berkembang dalam bidang-bidang lain pada masa akan datang, termasuk mengadakan kajian bersama.

"Kerjasama yang semacam ini membolehkan kita bertukar pengalaman, ilmu, pengetahuan yang akan disusuli dengan pertukaran pelajar," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain