suria

UPKO Sokong Syok Pekadin Untuk Penubuhan Kolej KDM Di Sabah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) sedia membantu merealisasikan cadangan penubuhan Kolej Kadazan Dusun dan Murut (KDM) atau Kolej KDM di Sabah, kata Presiden Upko Tan Sri Bernard Dompok.

Sambil menyambut baik cadangan itu, beliau berkata pengwujudan Kolej KDM merupakan satu keperluan kepada semua terutama masyarakat KDM dalam usaha memartabatkan bahasa dan seni budaya KDM di negeri ini.

"Pihak kami sedia bantu bagi membolehkan usaha tersebut dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita sempena Sambutan Rumah Terbuka Tadau Kaamatan UPKO 2011 di Dewan Masyarakat Menggatal, di sini Ahad.

Acara perasmian Tadau Kaamatan UPKO yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir ialah isteri Yang Dipertua Toh Puan Hajah Norlidah Datuk R.M Jasni dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ahad, Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (PEKADIN) mencadangkan penubuhan "Kolej KDM" bagi menyerlahkan peranan masyarakat itu terutama dalam arena pendidikan seiring dengan wawasan negara yang mahu menjadi sebuah negara maju dalam semua aspek pada tahun 2020.

Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata usaha mewujudkan sebuah kolej memerlukan sumber kewangan yang amat besar dan kajian terperinci perlu sebelum ia dilaksanakan.

Ini bagi memastikan institusi pengajian tinggi yang bakal ditubuh benar-benar mampu mencapai sasaran seperti yang diharapkan selaras dengan agenda pembangunan modal insan, katanya.

Dompok turut mencadangkan persatuan atau mana-mana pihak yang berminat untuk mewujudkan Kolej KDM agar mendapatkan kerjasama institusi pendidikan sedia ada bagi membolehkan mereka lebih bersedia pada masa depan.

Sementara itu, pada majlis itu, Musa meluluskan peruntukan kos pembiayaan penyediaan kemudahan sistem pendingin hawa Dewan Masyarakat Menggatal sekitar RM200,000. - BERNAMA

Artikel Lain