Universiti Putra Malaysia Pamer Inovasi Di Hannover

Diterbitkan: Sabtu, 9 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HANNOVER: Satu pasukan yang terdiri daripada tiga orang dari Universiti Putra Malaysia (UPM) mempamerkan inovasinya kepada khalayak antarabangsa yang mewakili pelbagai industri pada Pameran Industri Hannover yang berlangsung selama lima hari dan berakhir Jumaat.

Hidayah Ariffin, seorang pensyarah kanan UPM, berkata jabatannya mengusahakan penukaran bahan buangan sawit kepada bioasid yang digunakan dalam industri kimia, khususnya industri makanan, dan diperam selanjutnya untuk menghasilkan bioplastik yang boleh diperbaharui.

"Kami cuba menjual produk kami di sini kerana kami percaya pasti ada minat di kalangan orang Eropah yang menitik beratkan alam sekitar," katanya, sambil mengakui polimer biobolehrosot "tidaklah semurah polimer konvensyenal".

Bagaimanapun, Malaysia perlu menjalankan usaha pemasaran yang lebih gigih pada masa akan datang jika produk sedemikian, yang mempunyai masa depan komersial, ingin menarik minat pengguna Eropah.

Satu produk inovatif yang diperagakan oleh UPM ialah pengkolimat jejaring dawai, suatu komponen yang digunakan dalam mesin kamera Gamma.

"Pengkolimat jejaring dawai kami meningkatkan hayat dan keberkesanan mesin kamera Gamma; komponen ini juga membantu menjimatkan kos besar yang akan ditanggung jika keseluruhan mesin digantikan dengan yang baharu berbanding jika hanya digantikan komponennya," jelas penyelidik UPM, Iqbal Saripan, dalam satu temu bual dengan Bernama.

Beliau mendakwa syarikat-syarikat terkemuka seperti Siemens, Phillips, Toshiba dan General Electric adalah pelanggan UPM.

"Produk kami sedia bagi jualan komersial," katanya.

Iqbal juga mempamerkan ciptaan perisian yang dipanggil "MyOBE" (Sistem Pengurusan Pendidikan berasaskan Hasil).

"Produk perisian kami digunakan dengan meluas di Malaysia. Kami ada menerima pertanyaan daripada syarikat-syarikat Timur Tengah dan kami sedang mencari pengedar Eropah.

"Kami ada satu syarikat Jerman yang mahu mewakili kami di Eropah," terang beliau.

Mohd Kamal Bahrin Thahir, Pengarah Urusan Teknologam Sdn Bhd, mempamerkan rangkaian produknya yang merangkumi kedap paip dan gasket yang digunakan dalam industri petrokimia, minyak dan gas serta penghasilan minyak.

Malah, Kamal menerima pertanyaan perniagaan daripada syarikat-syarikat dalam bidang yang sama sepertinya.

"Saya menerima kunjungan pembeli dan Republik Czech dan Perancis.

"Syarikat-syarikat ini berminat mendapatkan subkontrak kerana dari sudut komersial, tidak berdaya maju jika mereka menghasilkan bahan-bahan sedemikian di negara mereka," jelasnya.

Kamal berkata beliau cuba mencari sendiri teknologi baharu di Hannover bagi operasinya di Malaysia.

Duta Malaysia ke Jerman, Datuk Ibrahim Abdullah, juga melawat peserta-peserta pameran dari Malaysia dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka tentang banyak perkara, termasuk sambutan yang mereka terima pada pameran Hannover, serta produk dan teknologi baharu.

Ibrahim "amat serius" tentang usaha meningkatkan hubungan antara Malaysia dengan Jerman melalui perdagangan dan perniagaan, kebudayaan dan pertukaran pelajar. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan