suria

Bilangan Pelajar Asing Bertambah, Kampus Cawangan University of Southampton Dibuka 2011

BANGI: Sektor pengajian tinggi negara menyaksikan beberapa pencapaian memberangsangkan tahun ini termasuk peningkatan jumlah pelajar asing dan penambahan bilangan kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bilangan pelajar asing meningkat kepada 80,000 orang pada tahun ini, melebihi matlamat 75,000 orang manakala sasaran tahun hadapan ialah 90,000 orang.

"Pendapatan yang diperoleh daripada pelajar luar negara yang menuntut di Malaysia telah mencapai RM2.28 bilion, melebihi sasaran RM2.25 bilion," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jasamu Dikenang di sini Rabu malam.

Majlis itu bagi meraikan persaraan bekas Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan dan 15 lagi pegawai kementerian yang telah dan akan bersara wajib.

Mengenai kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia, Mohamed Khaled berkata kini terdapat enam kampus berkenaan daripada tujuh yang disasarkan.

Katanya kampus cawangan University of Southampton dari United Kingdom, satu daripada 100 universiti terbaik dunia, dijangka beroperasi di Iskandar Johor pada tahun hadapan.

"Saya telah menandatangani surat pelawaan hari ini," katanya.

Mohamed Khaled berkata pemilihan Malaysia sebagai lokasi kampus cawangan universiti itu adalah berdasarkan keyakinan pihak luar aterhadap dasar dan matlamat sektor pengajian tinggi negara ini.

Ditanya sama ada kehadiran kampus universiti cawangan luar negara akan menjejaskan kedudukan universiti tempatan, beliau berkata ia akan menyebabkan kedudukan universiti dalam negara meningkat.

Katanya ini kerana mereka perlu bersaing dan memantapkan kedudukan, dan rakyat juga mempunyai pilihan dalam mendapatkan ilmu.

"Jika rakyat kita tidak dapat memasuki bidang kejuruteraan di universiti awam, mereka mempunyai alternatif untuk masuk ke universiti yang sama baik dalam bidang kejuruteraan," katanya.

Beliau juga berkata kehadiran kampus universiti cawangan luar negara akan menjadi saluran bagi pelajar asing datang ke Malaysia yang sekaligus menjadikan sektor pengajian tinggi antara eksport utama negara.

Mohamed Khaled juga berkata Kementerian Pengajian Tinggi akan melancarkan dua pelan tindakan di bawah Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN) pada tahun hadapan ke arah menjayakan Model Baru Ekonomi (MBE).

Katanya PSPTN yang kini memasuki fasa kedua (2011-2015) dimantapkan dengan penambahan dua pelan tindakan berkenaan iaitu Pelan Tindakan Modal Insan Inovasi dan Pelan Tindakan Modal Insan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT).

"Kementerian kini berada di peringkat akhir untuk mengemaskinikan pelan tindakan tersebut," katanya.

PSPTN dilancarkan pada 2007 untuk meningkatkan kualiti pelajar, keupayaan pensyarah, infrastruktur institusi pengajian tinggi dan membina rangkaian dengan institusi-institusi pendidikan tinggi ternama dunia. - BERNAMA

Artikel Lain