UiTM, Jawhara Hotels Meterai MoU Program Latihan

Diterbitkan: Khamis, 25 Februari 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DUBAI: Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini berpeluang mengikuti latihan hospitaliti lebih mesra keluarga di Dubai, hasil memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini.

MoU berkenaan dimeterai antara universiti dan Al Jawhara Group of Hotels and Apartments yang berpejabat di Dubai, serta Lootah Technical Centre (LTC), sebuah pusat pendidikan berasaskan kemahiran dan latihan.

Penandatanganan MoU itu adalah hasil kejayaan latihan pengurusan selama tiga bulan yang diikuti 14 mahasiswa UiTM yang menerima latihan praktikal Jawhara dan perunding akademik oleh LTC.

Jawhara dan LTC adalah sebahagian daripada S.S. Lootah Group.

Naib Canselor UiTM Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Ketua Eksekutif LTC Abdulmunam Lootah memeterai MoU bagi pihak masing-masing. Turut hadir Konsul Besar Malaysia di Dubai, Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan anggota Lembaga Pengarah S.S Lootah Group, Nasser Saeed Lootah.

Jenama Jawhara dilahirkan pada 1979 apabila Saeed Lootah mewujudkan hotel keluarga pertama di Dubai yang menawarkan perkhidmatan hospitaliti yang mematuhi peraturan budaya Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan merupakan rangkaian hotel yang pertama mematuhi hospitaliti mengikut hukum syarak.

Mengulas mengenai pemeteraian MoU itu, Syed Mohamad Hasrin memberitahu Bernama bahawa persefahaman berkenaan akan menyumbang kepada pengembangan hubungan dua hala antara Malaysia dan UAE, terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Saya gembira kedua-dua pihak berpuas hati dengan kerjasama mereka. Saya juga dimaklumkan bahawa beberapa penuntut telah ditawarkan bekerja dengan Jawhara," kata Konsul Besar itu.

Dr Sahol berkata usahasama ini menawarkan peluang-peluang unik bagi perkongsian pengetahuan dalam bidang strategik penting seperti hospitaliti yang mesra keluarga yang semakin pesat berkembang di Malaysia.

"Kami harap kerjasama dalam bidang latihan bagi penuntut, berkongsi kepakaran, kemudahan dan maklumat, bengkel, seminar, projek penyelidikan, membangunkan strategi pemasaran dan analisis pasaran oleh pakar akademik dalam hospitaliti dan pelancongan," katanya.

Sementara itu, Nasser Lootah berkata: "Sebagai pelopor dalam bidang hospitaliti mesra keluarga Emiriah yang tulen, kami gembira berkongsi kepakaran tiga dekad Jawhara kepada dunia.

"Menerusi kerjasama seumpamanya, kami berharap dapat mengukuhkan kedudukan Dubai sebagai peneraju dalam bidang ini dan akan terus mewujudkan aliran penanda aras menerusi penawaran perkhidmatan yang innovatif," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan