Nikmati Makanan Dalam Buluh, Atas Air

Diterbitkan: Khamis, 10 Ogos 2017 1:25 PM

(Ubah saiz teks)

PERNAHKAH anda menikmati hidangan di mana nasi dan lauk pauk dihidangkan di dalam buluh, sambil duduk di atas rakit buluh dengan kaki mencecah air sungai yang dingin?

Sesungguhnya ini satu pengalaman yang sangat menyeronokkan.  Jika anda belum pernah merasai  dan ingin mencubanya, kunjungilah ‘Castella Cafe’ di Kampung Padang Stang, Mukim Kerunai, Gerik.  Kafe berkonsep santai terbuka ini terletak di jalan utama Gerik-Pengkalan Hulu, tidak jauh dari pekan Gerik.

Castella Café bukan seperti kafe yang mungkin anda bayangkan, iatu tempat menjamu selera ekslusif seperti yang terdapat di bandar-bandar atau pusat membeli belah. Sebaliknya ia adalah tempat terbuka untuk anda menjamu selera sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Keistimewaan kafe ini ialah makanan dihidangkan dalam buluh. Memang istimewa kerana biasanya makanan atau lauk pauk berkuah diletakkan dalam pinggan atau mangkuk.  Buluh ini jenis buluh besar  seperti yang biasanya digunakan untuk  membuat meriam buluh.

Sambil makan, nikmati hembusan angin lembut dan desiran air sungai yang sangat mengujakan. Penulis merasai sendiri kerseronokan ini ketika berpeluang menikmati makan tengahari di Castella Café baru-baru ini.

Menurut pemilik Castella Café, Mohd Isa Ramli, juga dikenali sebagai Tok Janggut, kafe itu dimulakan tiga tahun lalu apabila beliau balik menetap di kampung untuk bekerja sendiri setelah lama bekerja di Kuala Lumpur.

Dengan kedudukan kafenya di tebing sungai, lahirlah konsep mewujudkan tempat makan santai di tepi sungai sementara makanan pula dihidangkan dalam buluh. Konsep ini memang lain daripada yang lain dan menjadi tarikan orang ramai mengunjunginya.

Kerusi meja untuk pelanggan makan diletakkan di atas rakit buluh. Sambil menikmati makanan, pelanggan boleh mencecahkan kaki mereka ke dalam sungai yang mengalir. Ibaratnya seperti makan sambil berkelah.

Selain itu pelanggan juga boleh membuat pilihan untuk menjamu selera di pondok rehat berhampiran atau di atas tebing sungai yang juga disediakan dengan kerusi dan meja daripada kayu dan buluh. Pendek kata buluh adalah teras utama café ini.

Menurut  Mohd. Isa, kerana kedudukan kafe ditebing sungai, pelanggan juga boleh memilih untuk mandi manda dan berakit. Katanya, memang ramai pelanggan yang datang mengambil kesempatan mandi dan merasai kesejukan air sungai.

Beliau memberitahu, bagi mereka yang ingin tinggal lebih lama untuk berehat atau mandi manda,  ‘homestay’ juga disediakan pada kadar bermula daripada hanya RM5O semlam. Namun unit ‘homestay’ ini terhad.

Menurut beliau, proses penambahan unit-unit ‘homestay’ sedang dijalankan agar dapat menampung permintaan orang ramai yang kian bertambah.  Bermalam di café tersebut sambil  menikmati keindahan alam semula jadi memang sangat menyeronokkan.

Mohd Isa memberitahu, Castella Café dibuka dari pukul 12 tengahari hingga enam petang setiap hari, kecuali hari Selasa yang merupakan hari rehat.

Namun beliau mengingatkan kepada mereka yang berhasrat berkunjung  ke kafe tersebut, mereka mestilah membuat tempahan terlebih dahulu. Jumlah tempahan maksimum yang boleh diterima setiap hari pula hanyalah untuk 150 orang.

“Kedatangan dan penyediaan makanan di kafe ini adalah melalui tempahan sahaja, bukan ‘walk in’. Ia bukan seperti tempat makanan biasa yang menyediakan pelbagai makanan siap untuk pelanggan.

“Penyediaan makanan adalah berdasarkan tempahan. Makanan dimasak menurut tempahan pada waktu pelanggan datang untuk memastikan makanan sentiasa panas dan segar,” kata Mohd Isa.

Kata beliau, pada hari-hari biasa tempahan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya sehari lebih awal. Pada hujung minggu pula tempahan mestilah dibuat sekurang-kurangnya seminggu lebih awal.  Oleh kerana pada satu-satu masa kafe ini hanya  menerima tempahan untuk 150 orang sahaja, tempahan yang diterima selepas jumlah tersebut akan ditolak.

Peraturan jumlah maksimum ini dibuat untuk memastikan pelanggan dapat menjamu selera atau mandi manda dengan selesa sesuai dengan keluasan kawasan kafe tersebut.

Menurut Mohd Isa, pada hari Selasa walaupun hari rehat, beliau sedia membuka kafe jika ada tempahan khusus dan dalam jumlah yang ramai.

Jenis makanan yang disediakan pula berdasarkan pelbagai kategori pakej tempahan yang disediakan. Jika pelanggan mahukan tambahan makanan dalam pakej atau penukaran menu, mereka mesti memberitahu kepada beliau.

Ketika penulis menikmati makan tengahari baru-baru ini, pakej yang diambil mengandungi dua ekor ikan Sebarau bakar, seekor Sebarau masak lemak, ulam-ulam kampung, ikan pekasam dan sambal. Memang sangat menyelerakan.

Makanan-makanan enak yang disediakan di kafe ini dimasak oleh chef Mak Alang, yang juga kakak kepada Mohd Isa. Beliau dibantu oleh dua tiga orang pekerja yang bertugas menghidangkan makanan kepada pelanggan.

Pelanggan boleh memilih jenis ikan sungai yang mereka ingin nikmati. Selain Sebarau, ada ikan  baung, ikan kelah, lampam dan tenggalan. Beritahu ikan mana menjadi pilihan ketika membuat tempahan. Pelanggan juga boleh memilih untuk menikmati hidangan selain ikan, misalnya ayam dan daging.

Terdapat beberapa jenis pakej menu yang disediakan di Castella Café, sesuai untuk empat hingga enam orang bagi setiap pakej. Pekej untuk dua hingga tiga orang juga disediakan dengan kos RM100.

Selain itu terdapat beberapa set makanan untuk empat hingga enam orang  dengan pelbagai jenis ikan pilihan seperti Seburau, Tenggalan, Trapia, Baung . Anda juga boleh memilih set yang mengandungi ikan dan ayam atau daging.

Kesemua set ini mempunyai harga berlainan berdasarkan kepada pilihan anda. Ada yang berharga RM150, RM170, RM180 atau sehingga RM200. Apabila anda membuat tempahan maklumkan dengan nyata menu mana yang dikehendaki dan ikan apa yang hendak dipilih, dan samaada mahukan ayam atau daging.

Pilihan inilah yang disajikan kepada anda pada hari anda datang. Pertukaran saat akhir tidak dapat dipenuhi. Untuk maklumat lanjut mengenai menu bolehlah melayari Facebook Castella Café atau menghubungi terus pihak mereka.

Rasailah kelainan suasana menjamu selera berlatar belakang keindahan alam semula jadi, santai dan nyaman. Castella Café adalah pilihan terbaik untuk kelainan ini. Datanglah berkunjung bersama keluarga atau rakan. Anda pasti berpuas hati degan pengalaman baru yang diperolehi.

Tetapi ingat buat tempahan sebelum datang. Hubungi Tok Janggut atau Mohd Isa Ramli di talian 011-20503453 untuk tempahan atau sebarang pertayaaan.

 

 
 
 
Tags / Kata Kunci: Berik , Castella Cafe , Buluh

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 6:51 PM

Sherry Ibrahim Tak Hilang, Masih Laris

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan