Laksa Sri Bidan, Harum Kuahnya Menggoda

Diterbitkan: Sabtu, 15 November 2014 3:41 PM

(Ubah saiz teks)

KETIKA berada di Makloom, Pekan Darat, Seberang Perai Tengah baru-baru ini, Abang Fen tertarik terhadap nama kedai Laksa Sri Bidan.

Ia membuatkan Abang Fen berteka-teki dengan diri sendiri, sama ada kedai laksa itu diusahakan oleh seorang bidan atau kuah laksanya merupakan resepi seorang bidan.

Apabila tidak berpuas hati, Abang Fen ambil keputusan untuk singgah di kedai laksa tersebut bagi ketahui rahsianya, mungkin boleh dikongsikan dengan pembaca setia mStar Online.

Bila Abang Fen menghampiri kedai Laksa Sri Bidan itu, secara kebetulan tudung periuk kuah laksanya terbuka...aromanya menusuk hidung dan membuatkan Abang Fen begitu berselera.

Bau bunga kantan serta bahan asas dalam kuah itu antara yang menarik pelanggan untuk singgah.

Niat awal Abang Fen hanya untuk tahu tentang asal-usul nama Sri Bidan, tapi kini telah bertukar untuk merasai kelazatan kuah laksanya yang harum.

Ketika sedang menunggu laksa yang dipesan, pelbagai persoalan bermain di fikiran Abang Fen, antaranya - adakah laksa Sri Bidan memang enak ataupun sekadar aromanya untuk dijadikan daya tarikan pelanggan.

Semasa Abang Fen asyik melayan persoalan yang bermain di fikiran, laksa dipesan sudah berada di depan mata, tersedar pun kerana baunya yang harum.

Abang Fen tak terus menjamah laksa ini sebaliknya memeriksa sayur-sayur, laksa dan kuahnya, untuk mengetahui bahan-bahan yang diguna dalam menghasilkan kuah laksa tersebut.

Ada daun pudina, nenas, timun,  bawang, daun salad, cili dan bunga kantan segar yang dipotong halus sebagai penghias laksa bagi menaikkan baunya.

You all jangan pula hairan kenapa kali ini Abang Fen begitu teliti hinggakan sayuran hiasan laksa pun diambil kisah. Ini kerana semua itu untuk dikongsikan dengan pembaca mStar Online.

Kuah laksa Sri Bidan memang berbaloi kerana ia dihasilkan dengan menggunakan ikan segar sehingga pekat dan baunya juga harum.

Itu memang tidak dapat Abang Fen nafi setelah merasai kemanisan ikan daripada kuahnya.

Apabila melihat pada papan tanda, harga semangkuk laksa hanya RM2.50, ia sangat berbaloi untuk laksa sesedap itu.

Apabila sudah kenyang, Abang Fen tidak akan pulang begitu sahaja tanpa mengetahui apakah rahsia kuah laksa itu, siapa pemiliknya dan waktu operasinya.

Untuk pengetahuan, laksa Sri Bidan diusahakan oleh Abdul Aziz Mohamad, 58, (gambar) sejak tahun 1979 lagi iaitu ketika beliau berusia awal 20-an.

"Saya mula jual laksa pada tahun 1979, naik roda tiga (basikal roda tiga) dan pakai buyung, (periuk tanah) guna dapur arang saja," cerita pemilik kedai itu ketika Abang Fen bertanyakan mengenai laksa Sri Bidan.

Ketika itu, Abdul Aziz yang tinggal bersama bapanya menjual laksa di sekitar Georgetown hingga ke Sungai Pinang.

Bapanya merupakan seorang anggota polis di kawasan tersebut.

"Pada tahun 1979 saya jual laksa dengan harga enam kupang (60 sen) semangkuk dan sehari boleh la jual dalam 5 kilogram," tambahnya.

Pada 1986, Abdul Aziz berpindah ke Permatang Tok Bidan, Penaga, Seberang Perai Utara kerana ayahnya telah bersara sebagai anggota polis.

Bagaimanapun, dia tetap meneruskan usahanya sebagai seorang peniaga laksa sehingga membuka sebuah warung di Simpang Tiga Makloom pada 1995.

Ketika itu jugalah, Abang Fen diberitahu bahawa nama laksa Sri Bidan ini diambil sempena nama kampung yang didiami Abdul Aziz iaitu Permatang Tok Bidan.

Abdul Aziz memberitahu, kuah laksanya tidak mempunyai rahsia istimewa atau resipi tertentu  selain menggunakan ikan segar yang diperolehi daripada nelayan di sekitar Penaga.

Jika 35 tahun lalu jualan laksa Abdul Aziz hanya sekitar 5 kilogram sehari, kini ianya mencecah 20 kilogram sehari.

Tetapi resepi dan kelazatan kuahnya tetap seperti 35 tahun dahulu, itulah keistimewaanya.

"Resepi dan rasa kuah laksa Sri Bidan ini masih asli dan sama seperti waktu saya mula-mula jual dulu, sebab saya nak kekalkan kelazatan yang ada," jelasnya mengakhiri perbualan kami.

Bezanya, dia tidak lagi menggunakan periuk tanah seperti dahulu kerana kuah yang dimasak ketika ini lebih banyak berbanding dahulu.

Namun bagi penggemar laksa atau mereka yang ingin menikmati laksa yang mempunyai aroma serta rasa asli, Abang Fen cadangkan supaya ke laksa Sri Bidan.

Jika you all inigin tahu lebih lanjut mengenainya boleh berhubung terus dengan  Abdul Aziz di talian 019-4319166.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan