suria

Hampir seluruh tubuh berbalut akibat simbahan asid sulfurik pekat, Faisal mohon doa rakyat Malaysia

Faisal mengalami lecur tahap empat selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada Ahad.

PEMAIN Selangor FC, Faisal Halim yang menjalani pembedahan kedua di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada petang Selasa, memohon rakyat Malaysia agar mendoakan dirinya lekas sembuh.

Pesanan tersebut disampaikan kepada Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang sempat menziarahinya sebelum menjalani pembedahan berkenaan.

Faisal dilaporkan menjalani pembedahan kedua pada pukul 5.30 petang tadi.

"Saya sempat berjumpa dengannya. Dia memohon doa agar cepat sembuh dan mengirimkan salam kepada kawan-kawan.

"Jadi, kita doakan kesembuhannya dan doakan agar pembedahan kedua berjalan lancar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Faisal alami lecur tahap empat, dirawat di ICU

Shahril juga dilaporkan berkata hampir keseluruhan badan Faisal dibalut yang mana kecederaan paling teruk dialami di bahagian tangan kiri.

Pada Isnin, doktor mengesahkan pemain berusia 26 tahun itu mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid sulfurik pekat.

Difahamkan akibat keadaan tersebut, Faisal dijadualkan menjalani beberapa siri pembedahan selepas ini.

Media pada Ahad melaporkan Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Dalam perkembangan terbaharu, seorang lelaki berusia lewat 30-an yang merupakan suspek kedua berjaya ditahan dan direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain