suria

Isu Tiket: Bukan Salah FAM, FMLLP

Sebahagian daripada ribuan penyokong Malaysia yang menunggu seawal pukul 12 tengah malam untuk membeli tiket ke perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) antara Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam, Selasa. fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan mereka tidak terlibat dalam urusan penjualan tiket aksi final bola sepak Sukan SEA antara Malaysia menentang Thailand yang akan berlangsung malam Selasa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, urusan tersebut dikendalikan Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (Masoc) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa semua urusan penjualan tiket bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang temasya Sukan SEA 2017 termasuk bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki, malam ini adalah di bawah kelolaan Masoc dan KBS sepenuhnya, bukannya FAM mahupun Football Malaysia LLP (FMLLP)," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Jelas beliau, FAM amat kecewa dengan tindakan segelintir pihak yang tetap mahu menyalahkan badan induk bola sepak itu apabila berlaku kekecohan membabitkan hal penjualan tiket perlawanan tersebut.

"Pihak kami hanya berperanan dalam urusan berkaitan teknikal perlawanan bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang Sukan SEA 2017 ini," katanya.

Pada Isnin, gerakan penyokong bola sepak Malaysia atau lebih dikenali sebagai Ultras Malaya memutuskan untuk menutup curva mereka pada aksi malam Selasa.

Mereka berbuat demikian sebagai solidariti kepada penyokong yang juga pemain ke-12 yang menjadi mangsa kegagalan sistem jualan tiket dengan baik pada temasya itu.

"Isu penjualan tiket tidak bersistem ini bukan isu baru dalam dunia bola sepak di Malaysia, baik di Liga Malaysia atau perlawanan antarabangsa yang melibatkan pasukan negara bermain di separuh akhir atau perlawanan akhir, kekalutan akibat kelemahan sistem penjualan sering berlaku.

"Anda mungkin kata apa kaitan Liga Malaysia dengan Sukan SEA, penganjur lain-lain. Ya memang tiada kaitan bagi anda, tapi bagi kami ianya melibatkan kami selaku penyokong dalam scene bolasepak Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut gerakan itu, FAM dan FMLLP harus belajar daripada apa yang berlaku dan bersedia melakukan perubahan untuk Liga Malaysia dan perlawanan antarabangsa yang lain.

"Kepada yang kata Ultras Malaya merajuk, fahami isu yang cuba disampaikan dengan betul, jangan bazirkan wang yang telah dibelanjakan anda untuk ijazah yang telah anda perolehi itu.

"Kepada golongan intelektual yang mengatakan Ultras Malaya kebudak-budakkan dan sebagainya, kita harap anda selaku orang dewasa yang matang dan berintelektual sokonglah Malaysia dengan sepenuh hati, dan gunakanlah kemahiran intelektual anda untuk memahami isu ini," katanya.

FAM, FMLLP, KL2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain