suria

Lydia Ko, Brooke Henderson Ke Final Golf Wanita Dunia

SAN MARTIN: Dua pemain remaja di ranking teratas golf wanita dunia, Lydia Ko dan Brooke Henderson saling hormat menghormati satu sama lain walaupun persaingan semakin memuncak.

Pemain nombor satu dunia, Ko dari New Zealand dan Henderson dari Kanada, akan memulakan perebutan takhta di Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang menyingkap tirainya, Khamis.

Henderson, 18, hanya muda setahun berbanding Ko, sudah merangkul dua gelaran major pertama tahun ini dan akan berada satu kumpulan dengan idolanya itu pada saingan hari pertama Terbuka AS di lapangan CordeValle.

Ko memenangi Ana Inspiration pada Mac manakala Henderson meraih major pertamanya di Kejuaraan PGA Wanita bulan lalu, diikuti dengan major kedua minggu lalu di Portland Classic.

"Lydia Ko amat menakjubkan. Dia adalah inspirasi kepada kami semua di luar sana, dan saya rasa mungkin kepada setiap orang di dunia.

"Dia melakukan perkara menakjubkan dalam kariernya dan hanya beberapa bulan lebih tua daripada saya. Jadi saya rasa ramai yang menghormatinya dan merasakan dia satu inspirasi.

"Kami pula berusaha untuk mengejarnya...dan mengejar impian kami sendiri," kata Henderson.

Ko, yang memenangi acara LPGA Terbuka Wanita Kanada 2012 pada usia 15 tahun dan muncul sebagai pemain termuda mencapai ranking nombor satu dunia pada usia 17, turut meminati Henderson.

"Bagi saya dia adalah pemain yang hebat.

"Kita semua tahu bakat yang dimilikinya. Dia pemain yang agresif tetapi pada masa sama cukup pintar. Saya rasa dia salah seorang pemain yang berkeyakinan tinggi di atas green," kata Ko.

Ko dan Henderson disertai pemain nombor empat dunia dari AS, Lexi Thompson yang berusia 21 tahun, dalam kumpulan yang menerajui pemburuan gelaran major ketiga tahunan itu.

Pemain nombor tiga dunia, Park In-Bee dari Korea Selatan, tidak dapat menyertai kejohanan kerana mengalami kecederaan ibu jari. - Reuters




Artikel Sebelum

Artikel Lain