suria

Norsharul, Aidil dan Khairul Idam Gelaran

ksi Norsharul Idlan Talaha dan Mohd Aidil Zafuan (tengah) pada final Piala Malaysia Sabtu lalu. Foto: GLENN GUAN/The Star
ksi Norsharul Idlan Talaha dan Mohd Aidil Zafuan (tengah) pada final Piala Malaysia Sabtu lalu. Foto: GLENN GUAN/The Star
ksi Norsharul Idlan Talaha dan Mohd Aidil Zafuan (tengah) pada final Piala Malaysia Sabtu lalu. Foto: GLENN GUAN/The Star

PETALING JAYA: Penyerang pasukan Kelantan, Norsharul Idlan Talaha teruja apabila namanya turut dicalonkan dalam kategori Penyerang Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus/FAM 2010 yang akan berlangsung di Hotel PJ Hilton, esok.

Dia yang masih gembira selepas pasukannya berjaya menjulang Piala Malaysia Sabtu lalu berkata, pencalonan ini merupakan satu motivasi kepada dirinya.

“Jika saya terpilih untuk meraih anugerah ini, ia adalah bonus kepada saya selepas pasukan saya menjadi Piala Malaysia Sabtu lalu. Ia sememangnya pendorong untuk saya lebih berusaha untuk meningkatkan lagi mutu permainan,” kata pemain berusia 24 tahun ini pada Isnin.

Selain Norshahrul, tiga lagi pemain yang turut dicalonkan termasuk pemain Selangor, Mohd Safee Sali, Azlan Ismail (Kedah) dan Mohd Zamri Hassan (PKNS). Sementara itu, bagi kategori Pemain Pertahanan Terbaik dilihat sukar membuat pilihan memandangkan nama-nama yang tercalon adalah yang terbaik.

Antaranya ialah Mod Nasriq Baharom (Selangor), Md Aidil Zafuan Abdul Razak (N. Sembilan), Azizi Mat Rose (Kelantan), Marzuki Yusof (Terengganu) dan Reithaudeen Emran dari pasukan Sabah.

Aidil yang kecewa selepas pasukannya tunduk kepada Kelantan pada aksi akhir Piala Malaysia berharap namanya menjadi pilihan bagi meraih anugerah ini sekali gus mampu mengubat dukanya itu.

“Saya mengalami satu kecederaan yang agak teruk pada perlawanan itu dan kini saya memerlukan rehat beberapa hari.

Saya harap kecederaan paha ini tidak memerlukan pembedahah kerana ia boleh menjejaskan peluang saya untuk beraksi di Sukan Asia dan Piala Suzuki AFF hujung bulan ini,” katanya.

Bagi kategori Penjaga Gol Terbaik dan Pemain Muda terbaik pula, pastinya nama pemain dari Kelantan menjadi sebutan kerana berjaya menonjolkan aksi konsisten pada baru-baru ini.

Biarpun Khairul Fahmi Che Mat gagal menyelamatkan tendangan penalti pemain Negeri Sembilan, namun pujian harus diberikan kepadanya kerana berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya pihak lawan.

“Ia adalah pengalaman pertama saya menghadapi saat genting di final, dan saya dapat mengatasi setiap situasi sukar itu dengan bantuan rakan sepasukan.

“Pencalonan bagi dua kategori ini sangat menggembirakan saya dan dalam masa sama ia boleh dijadikan pembakar semangat untuk terus berusaha lagi,” katanya.

Khairul,21, juga dijangka akan beraksi bersama skuad kebangsaan pada Piala Suzuki AFF hujung bulan ini.

Selain Khairul, penjaga gol dari pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee, Sani Anuar Kamsani (N. Sembilan), Hamsani Ahmad (Selangor) dan Syamsuri Mustaffa (T-Team) turut tercalon.

Manakala kategori Pemain Muda Terbaik hanya Khairul dan Mohd Faizal Abu Bakar,20, (penyerang Kedah) disenaraikan.

Edisi ketiga anugerah ini menyaksikan sembilan kategori dipertandingan termasuk Pemain Terbaik, Penjaga Gol Terbaik, Pemain Pertahanan Terbaik, Penyerang Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Jurulatih Terbaik, Kelab Penyokong Terbaik dan Persatuan Bola Sepak Terbaik.

Bagi memberi keputusan terbaik setiap kategori, panel-panel yang berkaliber telah dipilih termasuk jurulatih kebangsaan, ahli Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pegawai-pegawai dari FAM.

Pemenang bagi kategori Pemain Terbaik bakal membawa balik wang tunai RM 3,000 dan trofi manakala setiap kategori lain akan meraih wang tunai RM300 dan juga trofi.

Tahun lalu, Indra Putra Mahayuddin (Kelantan) telah dipilih sebagai Pemain Terbaik dan Penyerang Terbaik.

Artikel Lain