Sukan Komanwel: Kontinjen Negara Tidak Perlu Bimbang

Diterbitkan: Rabu, 22 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata kontinjen negara tidak perlu risau mengenai keselamatan dan kelewatan persiapan lokasi tertentu menjelang Sukan Komanwel yang akan bermula awal Oktober ini.

Kok Chi berkata, mengenai isu keselamatan, India sendiri telah mengambil langkah serius dengan menyediakan pelbagai langkah demi keselamatan semua atlet yang bertanding.

“Kita tidak perlu risau mengenai itu, kerana kami sedia maklum bahawa pihak India telah menyediakan ramai anggota keselamatan. Mereka sendiri tahu tanggungjawab mereka dalam menjaga keamanan semua kontinjen,” katanya kepada mStar online.

Sementara itu, Kok Chi berkata, kelewatan sesetengah lokasi pertandingan di sana juga bukanlah masalah atlet kerana proses persiapan sedang berjalan.

“Setiap hari semakin baik dan saya percaya apabila Sukan Komanwel bermula semuanya telah siap sedia. Saya boleh cakap mereka sudah sedia menerima atlet.

“Sebahagian atlet akan berangkat 23 September ini, manakala pihak sekretariat MOM akan berangkat ke India pada 27 atau 28 September ini. Saya akan berangkat ke sana pada 1 hingga 7 Oktober,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan