suria

Keputusan Seri 1-1 Legakan Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan

SEREMBAN: Keputusan seri 1-1 ketika Negeri Sembilan menentang KL Plus pada perlawanan kumpulan A saingan Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam Jumaat nyata melegakan jurulatih Negeri Sembilan Wan Jamak Wan Hassan.

Wan Jamak berkata keputusan itu sudah pasti dapat mengelakkan pasukannya daripada mengalami kekalahan dan mencapai matlamat mengumpul mata.

"Walaupun saya tidak berpuas hati dengan keputusan itu tetapi sekurang-kurangnya Negeri Sembilan dapat mengelak daripada mengalami kekalahan dan mengumpul satu mata berharga," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Pada perlawanan itu, jaringan penyamaan ketua pasukan Rezal Zambery Yahya pada minit ke-63 menyelamatkan juara bertahan, Negeri Sembilan daripada tersungkur di laman sendiri.

Terdahulu, KL Plus mendahului menerusi jaringan Irwan Fadzli Idrus pada minit ke-36.

Dengan keputusan itu dan selepas mengharungi dua perlawanan, Negeri Sembilan kini mendahului senarai kumpulan A dengan empat mata.

Wan Jamak berkata masih terdapat kelemahan pasukannya terutama penyudah yang tumpul yang perlu diatasi.

"Saya akui ketiadaan penyerang kebangsaan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak memang dirasai. Bagaimanapun saya harap dapat perkemaskan kelemahan yang dikenalpasti.

"Saya juga berharap pemain Negeri Sembilan akan bangkit untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Negeri Sembilan akan menentang Selangor PKNS di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 20 Sept ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain