Chia Harap Menyinar Di Terbuka British

Diterbitkan: Rabu, 14 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Peserta negara Danny Chia berharap dapat menyinar dalam penyertaan kali ketiganya dalam kejohanan golf Terbuka British di St Andrews, Scotland, bermula esok.

"Dalam dua penampilan sebelum ini, pencapaian saya kurang baik tetapi kali ini saya harap dapat buktikan saya mampu bersaing dalam satu kejohanan sebesar ini," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Chia pertama kali menyertai Terbuka British pada 2005 diikuti sekali lagi pada 2008.

Beliau berharap dapat melepasi dua pusingan awal untuk membolehkannnya meneruskan cabaran sehingga pusingan keempat, dan menjadikannya pemain pertama dari Malaysia bersaing dalam keempat-empat pusingan.

"Dalam penyertaan sebelum ini, saya gementar sedikit tetapi kali ini saya akan turun dengan lebih tenang," kata Chia yang masih ingat catatan eagle yang dibuatnya pada penyertaan pertamanya pada 2005 dahulu.

Chia layak ke Terbuka British setelah menjadi antara empat pemain terbaik pada pusingan akhir kelayakan yang berlangsung di Saujana Golf and Country Club di Subang pada Mac lepas.

Tiga pemain lain yang layak ialah Hiroyuki Fujita dari Jepun, Noh Seung-yul dari Korea Selatan dan pemain amatur, Eric Chun. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan