suria

Terengganu Sasar Juara Olahraga Sukma Tahun Ini

KUALA TERENGGANU: Terengganu tekad untuk muncul juara acara olahraga Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka memandangkan semua atlet yang memenangi pingat emas pada edisi 2008 masih boleh beraksi tahun ini.

Pengurusnya Kama Rezuan Kamaruddin berkata skuad itu juga akan diwakili beberapa muka baru yang mampu menyumbangkan pingat kepada Terengganu.

Pada Sukma ini, yang akan berlangsung pada 10 hingga 19 Jun, Terengganu mensasarkan lapan pingat emas, berdasarkan prestasi atlet pada beberapa kejohanan yang disertai mereka sepanjang tahun ini, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Terengganu mempunyai peluang baik memenangi emas dalam acara lontar peluru dan lempar cakera, 100m lompat pagar wanita, 400m lompat pagar lelaki dan wanita, 400m lelaki dan wanita dan 4x400m wanita.

Selain itu, Terengganu juga mempunyai harapan untuk memenangi pingat dalam acara lompat jauh wanita, heptatlon, 100m lelaki, 200m lelaki dan 4x400 lelaki.

Pada Sukma 2008, Terengganu yang ketika itu menjadi tuan rumah, menduduki tempat kedua acara olahraga dengan enam emas, enam perak dan lima gangsa, di belakang Johor.

Kama Rezuan berkata skuad olahraga seramai 28 orang itu disenaraikan beberapa bulan lepas setelah mereka menjalani latihan pusat sejak awal tahun ini.

Artikel Lain