suria

Daripada Pengurus Terbuang Kini Juara Belanda

Bekas Pengurus Pasukan Kebangsaan England, Steve McClaren kini berpuas hati dengan apa yang dicapainya. Foto: Koen Van Weel/EPA
Bekas Pengurus Pasukan Kebangsaan England, Steve McClaren kini berpuas hati dengan apa yang dicapainya. Foto: Koen Van Weel/EPA
Bekas Pengurus Pasukan Kebangsaan England, Steve McClaren kini berpuas hati dengan apa yang dicapainya. Foto: Koen Van Weel/EPA

STEVE McCLAREN telah membuktikan sekali gagal tidak bermakna gagal selama-lamanya. Dari seorang pengurus pasukan kebangsaan yang gagal dan terbuang dari Liga Perdana Inggeris, dalam tempoh dua tahun beliau telah membawa pasukan barunya -FC Twente menjuarai Liga Belanda.

Segala-galanya bermula apabila bekas pengurus kelab Middlesbrough itu menyahut cabaran untuk keluar daripada zon selesa di negaranya sendiri selepas tidak ada kelab mahu menawarnya pekerjaan ekoran kegagalannya memimpin England.

Dengan menerima tawaran untuk melatih FC Twente, segala perjudiannya berbaloi setelah kelab itu dinobatkan sebagai juara Belanda Ahad lalu.

Bukan sahaja Twente memenangi kejuaraan liga untuk pertama kalinya dalam era moden tetapi McClaren juga turut mencatat sejarah menjadi warga Inggeris pertama untuk memenangi kejuaraan besar dalam mana-mana liga utama Eropah sejak Sir Bobby Robson melakukannya di Porto pada tahun 1996.

Hasil daripada kejayaan luar biasanya itu, McClaren kini telah menerima pelbagai tawaran lumayan daripada kelab-kelab lain termasuklah kelab dari Bundesliga iaitu Wolfsburg dan Hamburg, West Ham United, Sporting Lisbon dan dua buah kelab lagi dari Turki.

McClaren, 49, berkata, beliau ingin melihat lebih ramai jurulatih Inggeris berani menyahut cabaran mencuba bakat mereka di benua Eropah kerana pengalaman yang bakal mereka perolehi sangat besar dan penting untuk kemajuan karier mereka di masa depan.

"Memenangi Piala Carling bersama Middlesbrough adalah sangat istimewa tetapi untuk memenangi kejuaraan liga di negara orang tersangat manis dan sukar untuk dilupakan. Ia sekaligus melonjak profil awak," ujarnya.

Satu-satunya penyesalan beliau ialah orang yang memberikannya galakkan untuk menerima tawaran melatih Twente iaitu Sir Bobby Robson, sudah tidak ada lagi untuk menyaksikan kejayaannya hari ini.

Robson yang pernah membawa England ke separuh akhir Piala Dunia meninggal dunia tahun lalu kerana barah otak.

"Nasihat Sir Bobby adalah benar dan betul dan saya sangat bertuah kerana mendengar nasihatnya lebih-lebih lagi setelah keluarga saya juga memberi kebenaran untuk saya menerima tugasan ini," kata McClaren yang mana isteri dan tiga anaknya terus kekal di kediaman asal mereka di Utara Yorkshire sementara beliau berhijrah seorang diri ke Timur Belanda untuk menerima tugasan ini.

Kata McClaren, keluarganya menerima kenyataan ini dalam kesukaran apatah lagi beliau hanya dapat pulang ke England pada hari tidak bekerja sahaja tetapi kini segala pengorbanan tersebut telah membuahkan hasil yang lumayan.

McClaren kini masih ada setahun lagi kontrak dengan Twente dan dengan menjuarai liga, bermakna kelab pimpinannya akan bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan - sekaligus menjadi sandaran utama buatnya untuk terus kekal bersama Twente.

Khabarnya pengerusi Twente, Joop Munsterman kini sedang menyusun strategi untuk menawarkan kontrak baru yang lebih lumayan buat pengurus berbangsa Inggerisnya itu.

Artikel Lain