Zaiton Othman Penerima Anugerah Wanita Dan Sukan MOM

Diterbitkan: Rabu, 18 November 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas olahragawati negara, Zaiton Othman dipilih sebagai penerima Anugerah Wanita dan Sukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2009 yang disampaikan dalam satu majlis makan malam dianjurkan oleh MOM di sini malam ini.

Zaiton,50, bekas atlet heptatlet negara yang mendomininasi acara itu lebih sedekad di peringkat serantau dipilih oleh para juri atas jasanya yang tidak pernah mengenal erti jemu dalam menarik penglibatan golongan wanita dalam sukan dan membantu mereka memburu kecemerlangan dalam sukan.

Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Dilahirkan di Kepada Batas, Pulau Pinang pada 1959, Zaiton memulakan zaman kegemilangannya dalam arena sukan dengan membantu kuartet 4x400 meter wanita negara memenangi pingat emas pada Sukan Asia di Bangkok pada 1978.

Beliau kemudiannya menyumbang satu lagi pingat emas buat negara pada penampilan pertamanya pada Sukan Sea Jakarta pada 1979 sebelum bersara daripada kejohanan kompetitif selepas Sukan Sea Kuala Lumpur 1989.

Zaiton yang kini menjadi pegawai sukan sepenuh masa di Majlis Sukan Negara (MSN) menjadi jurulatih pendidikan jasmani dan psikologi sukan yang juga Pengarah Kebajikan Atlet-atlet.

Sementara itu, Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata anugerah itu diberikan setiap tahun kepada individuindividu atau kumpulan yang telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam mempromosikan, membangunkan dan memajukan bakat wanita dalam apa juga jenis sukan atau aktiviti yang berkaitan dengan sukan.

"Bagaimanapun, kita belum berjaya sepenuhnya dalam usaha kita untuk melahirkan pemimpin wanita yang menjadi pembuat keputusan seperti jurulatih, pegawai teknikal, pentadbir, pengurus dan saintis sukan. Jelas sekali ini perlu menjadi fokus kita seterusnya," katanya.

Beliau berkata usaha rakyat Malaysia masih terbatas dalam melahirkan lebih ramai atlet wanita yang berjaya dan mampu menyertai sukan sehingga ke peringkat Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

"Namun usaha itu kini sedang meningkat dan negara telah berjaya melahirkan beberapa jaguh dunia seperti Nicol David (Skuasy), Siti Zalina Ahmad (Boling Padang), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (Tenpin Boling) dan Wong Mew Choo (badminton), katanya.

Tunku Imran berkata sejak Anugerah Wanita dan Sukan diperkenalkan pada 2003, 22 personaliti telah menjadi penerima anugerah itu terdiri daripada jurulatih, presiden persatuan dan setiausaha sukan termasuklah wartawan sukan wanita.

Selain anugerah itu, lima anugerah lain juga disampaikan kepada penerima yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan wanita dalam bidang sukan.

Senarai Penerima Anugerah:

Anugerah Wanita dan Sukan MOM, 2009 Zaiton Othman

Anugerah Kepimpinan Wanita dan Sukan Tunku Dara Tunku Naquiah

Anugerah Pembangunan Peringkat Akar Umbi Wanita dan Sukan Faridah Osman

Anugerah Perkongsian Wanita dan Sukan Ann Marie & Desmond David (Ibubapa Nicol David) dan Abdul Rahman & Faudziah Mokhtar (Ibubapa Siti Safiyah Amirah). BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan