suria

KOAM hantar atlet terbesar sertai mini Olimpik

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) akan menghantar bilangan atlet terbesar pada temasya Sukan Mini Olimpik yang diadakan di sekitar Lembah Klang, dari 29 Julai hingga 9 Ogos ini.

Timbalan Presiden KOAM Karim Ibrahim berkata seramai 370 atlet telah dipilih untuk ke kejohanan itu dan sebahagian besar daripadanya terdiri daripada atlet negeri iaitu 208 orang.

"Saya harap atlet kebangsaan tidak memandang remeh kepada kejohanan ini walaupun saingan mereka terdiri daripada rakan sepasukan dan atlet negeri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Karim berkata peluang ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh atlet negeri sekiranya mereka mempunyai impian untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.

"Kita akan pantau setiap keputusaan pertandingan, sekiranya ada atlet negeri yang menonjol kita akan pertimbangkan kebolehan mereka untuk diserapkan ke skuad kebangsaan," katanya.

Karim berkata semua atlet yang bertanding perlu memandang serius kepada kejohanan ini kerana Mini Olimpik boleh disifatkan sebagai rintisan awal atlet sebelum ke Sukan Olimpik.

Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penganjur temasya Mini Olimpik itu telah memilih 1,450 orang terdiri daripada 490 pegawai dan 960 atlet untuk terlibat dalam kejohanan yang pertama kali diadakan ini. Selain acara olahraga tujuh lagi acara yang dipertandingkan ialah akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, gimnastik, memanah dan menembak. BERNAMA

Artikel Lain