MAHB Bayar Caj Servis Penumpang ERL Lebih RM741 Juta - Niaga | mStar

MAHB Bayar Caj Servis Penumpang ERL Lebih RM741 Juta

Diterbitkan: Rabu, 15 November 2017 4:04 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) bagi pihak kerajaan telah mengemukakan bayaran caj servis penumpang (PSC) kepada Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) sejak 2002 hingga September 2017, dengan jumlah bayaran keseluruhan RM741,234,295.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata  sejak ERL mula beroperasi, kadar purata bilangan penumpang adalah 5.4 juta orang setahun.

Namun pada 2015 terdapat peningkatan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya 11.03 juta orang.

“Bagaimanapun, peningkatan kadar tambang ERL pada 2016 telah menyaksikan penurunan kadar bilangan penumpang sebanyak 19 peratus, menjadi 8.9 juta orang,” katanya menjawab soalan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) mengenai jumlah keseluruhan yang dibayar MAHB  kepada ERL sejak 2002.

Abdul Aziz berkata ERL juga mengalami kerugian selepas tahun kewangan cukai selama enam tahun berturut-turut iaitu 2009 hingga 2014.“Sehingga tahun 2016, kerugian selepas cukai terkumpul adalah RM661.34 juta,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Othman Abdul (BN-Pendang) mengenai  diskaun bagi tambang ERL, Abdul Aziz berkata diskaun 30 peratus ditawarkan kepada warga emas, orang kurang upaya dan pelajar.

“Bagi pengguna kerap, terdapat pas bulanan. Jika individu itu bekerja di KLIA, dia boleh dapat sehingga 82 peratus diskaun (bagi penggunaan KLIA transit).

“Selain itu, diskaun juga diberi bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan dalam talian (10 peratus) dan Visa payWave (15 peratus). Banyak kemudahan diskaun diberi kepada rakyat tempatan,” katanya.-- Bernama



Tags / Kata Kunci: ERL , MAHB
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan