Jualan Eco World Dalam Empat Bulan Pertama Cecah RM955 Juta

Diterbitkan: Khamis, 16 Mac 2017 5:26 PM

(Ubah saiz teks)

SEMENYIH: Jualan Eco World Development Group Bhd mencecah RM955 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun kewangan semasa berakhir 31 Oktober 2017, naik 57 peratus berbanding RM607.8 juta sebelum ini.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Chang Khim Wah berkata RM797 juta telah disumbangkan oleh projek-projek di Lembah Klang manakala baki sebanyak RM158 juta datang daripada jualan di Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang.

"Angka jualan tertinggi yang dicapai pada tahun ini adalah hasil daripada momentum kukuh, susulan daripada pelancaran mega kumpulan itu dalam suku akhir tahun kewangan 2016," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di sini, Khamis.

Tiga projek yang dilancarkan iaitu Eco Grandeur, Eco Ardence dan Bukit Bintang City Centre (BBCC) menerajui pencapaian jualan bagi tahun semasa.

Khim Wah menjangkakan momentum minat dan jualan dalam tiga projek ini akan terus melonjak.

Sementara itu, kumpulan itu juga merancang tiga lagi pelancaran hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM14 bilion pada suku ketiga atau keempat tahun kewangan semasa.

Pelancaran itu membabitkan Eco Forest di Lembah Klang seluas 197.08 hektar dengan DGV sebanyak RM3.5 bilion, Eco Sun dan Eco Horizon seluas 149.84 hektar  di Pulau Pinang dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM7.762 bilion dan Eco Business Park V seluas 207.2 hektar di Lembah Klang dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.747 bilion.

"Projek-projek ini akan membantu mencapai sasaran jualan RM4 bilion di Malaysia," katanya.

Bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2017, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM592.7 juta, 27.9 peratus lebih tinggi berbanding RM463.5 juta yang dilaporkan pada suku yang sama tahun lepas. 

Keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM131.61million daripada RM31.16 juta sebelum ini. 

"2017 akan menjadi tahun yang sangat baik untuk kami," kata Khim Wah. 

Kumpulan itu telah memperolehi sebanyak 3,221.08 hektar simpanan tanah dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM87.5 bilion.

Ia mempunyai kehadiran di Lembah Klang, Iskandar Malaysia dan Pulau Pinang dengan 18 buah projek.-- Bernama




Tags / Kata Kunci: Eco World , Chang Khim Wah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan