suria

MAHA 2016: Fama Sasar Jualan RM7 Juta

Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin (dua, kanan) dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni (kanan) melawat ruang pameran Pavillion Negeri Sabah di 'Malaysia Agriculture, Horticulture & Agrotourism (MAHA) 2016' di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) pada 1 Disember 2016. 
- BERNAMA

SERDANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan jualan produk pertanian dan makanan sebanyak RM7 juta pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA), yang bermula Khamis.

Ketua Pengarah Fama Datuk Ahmad Ishak berkata beliau yakin sasaran itu dapat dicapai berdasarkan kepelbagaian jenis buah-buahan, sayur-sayuran, florikultur dan bunga-bungaan yang dipasarkan sepanjang 11 hari pameran pertanian terbesar di Asia Teggara itu berlangsung.

Beliau berkata untuk MAHA 2016, Fama diberi tanggungjawab mengendalikan Kluster Agro Trade yang mengandungi empat segmen utama iaitu, jualan produk pertanian dikenali 'Castle of Fruits' di Laman Tiba 1 dan Laman Tiba 2 dan Sajian Makanan Popular selain Seminar Transformasi Pemasaran dan Pavilion Agro Trade Antarabangsa.

"Untuk jualan di Laman Tiba 1 dan 2, kita yakin mampu meraih sehingga RM5 juta menerusi jualan oleh 16 usahawan orkid; anak pokok (38); buah-buahan (13); baja dan input pertanian (tiga) dan 12 usahawan nilai tambah yang mengambil bahagian di 108 lot gerai yang disediakan," katanya.

Bercakap kepada Bernama ketika ditemui semasa meninjau laman kendalian Fama di lokasi MAHA di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini, Ahmad berkata tarikan utama 'Castle of Fruits' ialah jualan jagung 'Taiwan Super Sweet' (TSS) yang dijual secara tongkol serta produk hasil jagung.

Ahmad berkata dengan kadar kemanisan 17.8 mengikut index Brix, jagung TSS pasti menjadi tumpuan, apatah lagi harga yang ditawarkan juga amat berpatutan iaitu hanya RM10 untuk 12 tongkol.

"Jagung menjadi pilihan kerana FAMA ingin memperkenalkan potensi tanaman itu kepada usahawan tani, terutama petani muda, selain membawa hasil tanaman yang segar terus dari ladang untuk pengunjung.

"Untuk memastikan permintaan mencukupi, sebanyak tiga juta tongkol jagung telah disediakan yang diambil terus daripada 17 peserta ladang kontrak dari Selangor, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan," katanya dan menambah Kuala Pilah, Rembau serta Jempol menjadi penyumbang terbesar dengan 2.5 juta tongkol.

Dalam pada itu, Ahmad berkata variasi sajian makanan serta masakan eksotik yang menyediakan 168 menu bagi kluster sajian makanan popular di Empayar Makanan mampu menggamit kehadiran pengunjung, sekali gus mencapai sasaran jualan RM2 juta yang ditetapkan.

Beliau berkata sebanyak 50 usahawan makanan akan terlibat menyajikan menu masing-masing daripada sajian makanan popular sehingga masakan eksotik atau unik seperti Gedung Chak, sejenis makanan tradisi lama orang Kedah, diperbuat daripada tepung pulut yang dicampur gula kabung, kemudiannya dibakar sebelum dihidangkan.

Semua peserta yang terlibat dipilih menerusi program pencarian makanan yang diadakan di peringkat daerah dan negeri sejak Ogos lepas, bermakna hanya masakan yang dikategorikan sebagai terbaik sahaja ditawarkan untuk berniaga di MAHA, katanya.

 Bertemakan 'Our Food Our Future', MAHA 2016 bakal menampilkan 1,500 gerai pameran daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk penyertaan peserta luar negara. - BERNAMA

Maha 2016, Fama

Artikel Lain