MRCB Kemuka Tender Bagi Projek Bernilai RM8 Bilion

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2016 7:15 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Syarikat hartanah dan pembinaan, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), mengemukakan tender bagi projek-projek bernilai kira-kira RM8 bilion, kata Pengarah Eksekutif Mohd Imran Tan Sri Mohamad Salim.

"Sejak dua belas bulan lepas, kami menambah jumlah kontrak dalam tangan kepada lebih RM4 bilion dalam projek pembinaan dan kini dalam usaha mendapatkan projek infrastruktur yang lebih besar," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini, Selasa.

Sehingga kini, kontrak pembinaan dalam tangan MRCB berjumlah RM5.4 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kwan Joon Hoe berkata syarikat menyasar  RM1 bilion dalam jualan hartanah tahun ini, lebih tinggi berbanding RM850 juta nilai hartanah yang dijual pada 2015.

"Pada 2016, kami akan melancarkan projek bernilai RM2.2 bilion yang terdiri daripada Sentral Suites di Kuala Lumpur, Menara MRCB Putrajaya, Prima homes di Kajang, serta hartanah bertanah di Bandar Seri Iskandar (Perak) dan Bukit Aman Putra (Sungai Buloh).

"Daripada RM3.2 bilion projek-projek yang dilancarkan sejak beberapa tahun lepas, kami mempunyai hartanah yang belum dibilkan bernilai RM1.4 bilion," kata Kwan.

Pada masa ini, MRCB mempunyai simpanan tanah seluas 166 hektar dengan anggaran nilai sebanyak RM50 bilion dalam nilai pembangunan kasar.

MRCB mencatatkan keuntungan bersih dan hasil tertinggi pada tahun lepas.

"Kami mencatatkan kenaikan 12 peratus dalam pertumbuhan hasil kepada RM1.697 bilion berbanding RM1.515 bilion pada 2014.

"Keuntungan selepas cukai meningkat 116 peratus kepada RM330 juta berbanding RM153 juta yang dicatatkan pada 2014," kata Mohd Imran, sambil menambah bahawa projek-projek pembangunan dan pelupusan syarikat-syarikat usaha sama menyumbang kepada prestasi yang lebih baik.

Mohd Imran juga berkata syarikat itu mencapai 14 peratus peningkatan dalam  dana pemegang saham kepada RM2.26 bilion daripada RM1.985 bilion sebelumnya.-- Bernama 

Tags / Kata Kunci: MRCB , Mohd Imran Mohamad Salim

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan