suria

Epic Sasar Perolehan RM1 Bilion Pada Tahun Depan

KUALA TERENGGANU: Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (Epic), anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, menyasarkan perolehan daripada aktiviti anak syarikatnya sehingga RM1 bilion pada tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Fadzil Mohamed Nor berkata, sasaran itu mampu dicapai melalui anak syarikatnya seperti Epic Mushtari Engineering Berhad dan Tubex Sdn Bhd.

"Walaupun menghadapi penurunan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit, kita akan meningkatkan aktiviti untuk memperoleh hasil yang baik kepada syarikat dan kerajaan negeri.

"Pada tahun ini, biarpun keadaan ekonomi tidak menentu, kita mampu mencapai sasaran keuntungan kira-kira RM500 juta," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan pakaian dan alat tulis kepada 80 pelajar pada Program Kembali Ke Sekolah Epic Berhad di sini, Selasa.

Noor Fadzil berkata dalam usaha meningkatkan perolehan, anak syarikat Epic akan menumpukan kepada bidang baharu dalam sektor minyak dan gas, memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran dan penyelenggaraan.

Sementara itu, katanya program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu merangkumi bidang pendidikan, kemasyarakatan, sosial dan pembangunan modal insan.

Katanya syarikat akan turut meluaskan program Kembali Ke Sekolah ke daerah lain seperti Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu, dan tidak tertumpu kepada daerah Kuala Terengganu dan Kemaman sahaja, tempat ia beroperasi.

"Kita mendapat makluman daripada guru besar bahawa program ini amat baik dan perlu diperluaskan ke dareah lain dengan bajet yang lebih besar untuk memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar yang kurang bernasib baik," katanya.-- Bernama

Artikel Lain