AirAsia Sasar 12 Juta Penumpang Ke Sabah Setahun - Niaga | mStar

AirAsia Sasar 12 Juta Penumpang Ke Sabah Setahun

Diterbitkan: Selasa, 24 November 2015 9:40 AM

AirAsia menerima Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik serta Anugerah Khas Menteri pada Anugerah Pelancongan Sabah 2015 yang berlangsung di Kota Kinabalu pada Sabtu lalu.

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia mensasarkan peningkatan jumlah penumpang ke negeri Sabah meningkat kepada 12 juta pengguna berbanding 3 juta setahun pada masa ini.

Ketua Pegawai Ekskutif AirAsia Berhad, Aireen Omar berkata, pihaknya optimis dengan hasrat tersebut dengan beberapa perancangan yang bakal dirangka pihaknya.

“AirAsia mempunyai rancangan yang besar buat Sabah dan kami ingin melihat jumlah penumpang ke Sabah meningkat dari 3 juta setahun kepada sekurang-kurangnya 12 juta setahun.

"Kami yakin jumlah ini boleh di kecapi dan tidak mustahil untuk kami capai memandangkan Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab utama di rantau ini dan kami ingin menjadikan ini satu realiti," katanya.

Terdahulu, AirAsia menerima pengiktirafan atas sumbangan ke arah pertumbuhan sektor pelancongan negeri Sabah pada Anugerah Pelancongan Sabah 2015.

AirAsia menerima Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik serta Anugerah Khas Menteri pada acara yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu lalu.

"Dua anugerah tersebut telah mengiktiraf kerja keras dan sumbangan kami terhadap negeri Sabah dengan anugerah berprestij ini.

"Pelaburan kami terhadap pembangunan Sabah yang menjadi hab utama AirAsia ternyata berbaloi dan berbesar hati usaha ini mendapat pengiktirafan," ujar Aireen.

Trofi kemenangan itu disampaikan oleh Menteri Pelancongan Budaya dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun kepada Aireen.

Kategori ‘Syarikat Penerbangan Terbaik’ mengiktiraf syarikat penerbangan yang menyumbang terhadap industri pelancongan Sabah dari segi jaringan perhubungan dan membawa jumlah pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang dua tahun lalu.

Manakala ‘Anugerah Khas Menteri’ diberikan kepada AirAsia atas langkah berani syarikat penerbangan tersebut meningkatkan jaringan perhubungan ke Sabah dengan penerbangan antarabangsa dan domestik dengan 23 destinasi setakat ini.

Menerusi jaringan tersebut, ia memaksimakan kedudukan geografi Sabah yang membolehkan para pelancong meneroka tempat-tempat menarik bertaraf dunia di Sabah, selain mencari peluang perniagaan di negeri itu.

Dalam pada itu, Aireen berkata, setakat ini AirAsia telah membawa lebih 8.4 juta penumpang ke Kota Kinabalu menerusi 698 penerbangan mingguan ke dan dari Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan di Sabah.

Katanya lagi, penumpang dari rantau Asia dan Australia ke Kota Kinabalu dengan perkhidmatan AirAsia Fly-Thru turut menunjukkan peningkatan ketara.

"Bangkok, Beijing, Shanghai dan Perth adalah antara bandar utama dengan jumlah pelancong yang berhubung ke Sabah sepanjang tahun lepas.

"AirAsia buat masa ini mempunyai 24 laluan Fly-Thru ke Kota Kinabalu memberikan akses mudah bagi para pelancong di rantau ini ke negeri Sabah," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: AirAsia
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan