suria

Sistem Kewangan Tempatan Kekal Berdaya Tahan, Bekalan Mudah Tunai Mencukupi

KUALA LUMPUR: Walaupun terdapat peningkatan ketidakstabilan pasaran kewangan global, sistem kewangan tempatan kekal berdaya tahan dan terus membekalkan mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong aktiviti sektor ekonomi benar.

"Sistem perbankan kekal mempunyai pemodalan kukuh dengan nisbah modal utama yang ditetapkan melebihi keperluan tahap minimum pengawalseliaan," kata Kementerian Kewangan dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 yang dikeluarkan, Jumaat.

Laporan itu dikeluarkan sempena pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, Jumaat.

Bagi perkembangan kewangan, dalam tempoh lapan bulan pertama 2015, mata wang serantau termasuk ringgit menyusut selaras dengan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) di samping penambahbaikan aktiviti ekonomi dan jangkaan kenaikan kadar faedah.

"Ini menyebabkan pengaliran keluar portfolio yang ketara daripada pasaran kewangan pesat berkembang dan serantau," menurut laporan tersebut.

Walaubagaimanapun, dalam tempoh enam bulan pertama 2015, Malaysia menguasai 54.9 peratus daripada pasaran sukuk global, katanya.

"Penerbitan keempat sukuk berdaulat global dalam denominasi dolar AS bernilai AS$1.5 bilion pada bulan April 2015, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global," katanya.

Katanya, kepakaran Malaysia yang diiktiraf dalam pasaran sukuk menawarkan peluang kepada peserta pasaran kewangan tempatan dan firma perkhidmatan profesional untuk mengembangkan dan meningkatkan kapasiti mereka di peringkat global, terutamanya dalam menyediakan khidmat nasihat kewangan Islam.

"Dengan memanfaatkan peranannya sebagai penerbit utama sukuk, Malaysia mengukuhkan kedudukan untuk lebih menguasai kewangan Islam," menurut laporan tersebut.-- Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain