suria

Fareeda Ceburi Bidang Penjagaan Rambut, Kosmetik

PUTRAJAYA: Fareeda Global Resources Sdn Bhd, yang terkenal dengan keluaran tudung eksklusif jenama 'Fareeda', kini melebarkan sayap perniagaannya melalui pengenalan produk berkaitan penjagaan rambut dan kosmetik.

Ketua Pemasaran dan Jualan, Fizo Omar berkata, syampu 'Shampoo by Mawar' adalah produk pertama keluaran syarikatnya yang bukan berasaskan fesyen, dengan  menyasarkan 50,000 botol akan dijual sehingga akhir tahun ini.

"Fareeda mempunyai peminatnya yang tersendiri dan kami yakin produk terbaru kami mampu menarik golongan wanita bertudung, terutama pemakai tudung Fareeda," katanya kepada pemberita selepas pelancaran koleksi terbaru tudung Fareeda, 'Fareeda Persia' di sini, Isnin.

Katanya, Shampoo by Mawar boleh didapati di 11 cawangan kedai tudung Fareeda dan melalui 100 ejen di seluruh negara dengan harga RM35 sebotol.

"Kami juga menyasarkan untuk membuka 500 ejen Fareeda di setiap negeri sehingga hujung tahun ini," katanya sambil menambah syarikat itu juga menyasarkan untuk memperkenal produk perapi dan serum rambutnya dalam masa sebulan akan datang.

Fizo berkata, produk kosmetik pula akan dikeluarkan oleh anak syarikatnya iaitu Fareeda Cosmetic Sdn Bhd dengan produk sulung mereka iaitu F12, sabun pencuci untuk penjagaan diri lelaki, akan dilancarkan pada hujung bulan ini.

"Untuk produk kosmetik wanita pula, kami sedang menjalankan kajian dan pembangunan bersama sebuah syarikat dari Jepun dan akan memperkenalkannya kepada umum tidak lama lagi," katanya. --Bernama


Artikel Berikut

Artikel Lain