Pembiayaan Agrobank Terus Meningkat

Diterbitkan: Ahad, 6 September 2015 5:51 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA SAMARAHAN: Pembiayaan pertanian Agrobank terus meningkat dari tahun ke tahun dan setakat Julai tahun ini ia mencecah RM4.1 juta atau 11.2 peratus daripada keseluruhan pembiayaan RM36.7 juta di Malaysia, kata  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.

Menurutnya, pembiayaan Agrobank dalam sektor agromakanan lebih menyerlah, iaitu RM2.7 juta atau 23.76 peratus daripada keseluruhan pembiayaan sistem perbankan berjumlah RM11.1 juta.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian cawangan Agrobank Kota Samarahan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini, Ahad.

Bagi negeri Sarawak, katanya, dalam tempoh yang sama sebanyak 3,149 pembiayaan bernilai RM187.46 juta telah diluluskan, termasuk RM112 juta kepada Lembaga Perlindungan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra).

Wan Mohd Fadzmi berkata dalam usaha meluaskan rangkuman dan memudahkan pelanggan, khasnya di kawasan luar bandar, Agrobank telah melancarkan perkhidmatan perbankan Internet yang dikenali sebagai AGRONet dan perkhidmatan melalui ejen, iaitu AgroAgent.

Agrobank Kota Samarahan merupakan cawangan yang ke-189 di seluruh negara dan yang ke-24 di Sarawak.

Wan Mohd Fadzmi yakin cawangan itu mampu meningkatkan deposit sasaran sebanyak RM3.88 juta dan pembiayaan RM5.74 juta tahun ini.

Katanya, Kota Samarahan mempunyai potensi besar dalam membantu pertumbuhan ekonomi setempat kerana produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Agrobank tidak terhad kepada pengeluaran hasil pertanian, malah semua proses rantaian nilai pertanian.

Agrobank komited dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan walaupun cawangan di Kota Samarahan baru sahaja dibuka Oktober tahun lalu, ia telah memberikan RM2.89 juta pembiayaan manakala deposit pula mencecah RM11.07 juta, katanya.

Pada majlis itu turut diadakan upacara menandatangani perjanjian persefahaman AgroAgent di antara Angrobank dengan lima agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, iaitu Lembaga Pertubuhan Pertanian Muda, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Ia bagi menetapkan hak eksklusif kepada Agrobank dalam penyediaan perkhidmatan ejen perbankan atau ejen bank berdaftar di Sarawak.--Bernama


Tags / Kata Kunci: Agrobank , Wan Mohd Fadzmi Wan Othman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan