Tarikh Baharu Untuk AirAsia Pindah Operasi Ke Terminal 1 KLIA

Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 1:26 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menetapkan tarikh baharu dalam masa terdekat bagi syarikat penerbangan AirAsia untuk memindahkan operasi dari Terminal 2 ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata pada masa ini kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang berbincang dengan syarikat penerbangan tambang murah itu yang mengemukakan beberapa permintaan sebelum berpindah.

"Kementerian Pengangkutan sebelum ini telah menetapkan AirAsia untuk berpindah ke Terminal 1 berkuat kuasa 1 Jan tahun ini.

"Bagaimanapun, AirAsia telah menangguhkan perpindahan ini dan memohon beberapa perkara daripada pihak kerajaan sebelum berpindah," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, di sini, Rabu.

Chin meminta kerajaan menyatakan perkembangan terkini status perpindahan operasi syarikat AirAsia ke Terminal 1 KKIA dan ingin tahu mengapa proses itu memakan masa yang lama.

Ab Aziz berkata antara permintaan AirAsia ialah agar 'caj khidmat penumpang' dikekalkan pada kadar RM32 seperti di Terminal 2, berbanding kadar yang ditetapkan di Terminal 1, RM65.

"Pihak kerajaan perlu mematuhi peraturan antarabangsa yang kadar caj sama perlu dikenakan kepada semua syarikat penerbangan. Tidak boleh ada syarikat penerbangan yang dapat murah, ada syarikat penerbangan yang dapat mahal," katanya.

Selain itu, beliau berkata AirAsia turut meminta untuk menggunakan sistem 'daftar masuk' sendiri dan tidak mahu menggunakan 'sistem daftar masuk bersama' yang disediakan MAHB di terminal itu.

Katanya, perkara itu masih dalam pertimbangan kerajaan untuk mengintegrasikan sistem AisAsia itu dengan sistem sedia ada memandangkan sistem yang dibangunkan syarikat itu tidak dapat digunakan oleh syarikat penerbangan lain.

Pembinaan Terminal 1 KK1A siap sepenuhnya pada November tahun lalu dan mampu mengendalikan sehingga sembilan juta penumpang setahun.

Perpindahan AirAsia dari Terminal 2 ke Terminal 1 lapangan terbang itu adalah berdasarkan keputusan Laporan Ketua Audit Negara bilangan 1 2014 dan keputusan Majlis Ekonomi Negara.

Tags / Kata Kunci: AirAsia , KLIA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan